Saturday 1 October 2011

Upah dalam Agama

Kalimat ajr di dalam al-Qur'an bermakna upah, gaji, atau ganjaran. Di sini perkataan upah dipilih untuk menjadi terjemahan kepada kalimat tersebut yang berjumlah sebanyak seratus lima di dalam al-Qur'an, dan terdapat pada sembilan puluh lapan ayat.[rujuk didalam al-quran]


Daripada jumlah itu, kira-kira dua puluh ayat yang menyentuh mengenai mengambil upah dalam penyampaian pelajaran agama telah ditemui. Akan tetapi, di kalangannya, didapati tiada satu pun yang menghalalkan upah untuk mengajar, menyampai, atau menceramahkan agama. Itu menunjukkan bahawa Allah melarang daripada amalan tersebut.

Kerana itu, rasul-rasul atau nabi Allah, seperti Nuh, Hud, Salleh, Lut, dan Shuaib, diketahui tidak mengambil upah dalam menyampaikan agama Allah. Ada berbilang ayat al-Qur'an yang meriwayatkannya. Antaranya, lima yang berikut:

"Kemudian jika kamu berpaling, aku (Nuh) tidak meminta kepada kamu sebarang upah. Upahku, tidak lain, hanyalah daripada Allah, dan aku diperintah untuk menjadi antara orang-orang yang muslim." (10:72)
"Wahai kaumku, aku (Hud) tidak meminta upah kepada kamu untuk ini; upahku, tidak lain, hanyalah atas Yang memulakan aku. Tidakkah kamu memahami?" (11:51)
"Aku (Salleh) tidak meminta kepada kamu upah untuk ini; upahku, tidak lain, hanyalah atas Pemelihara semua alam." (26:145)
"Aku (Lut) tidak meminta kepada kamu upah untuk ini; upahku, tidak lain, hanyalah atas Pemelihara semua alam." (26:164)
"Aku (Shuaib) tidak meminta kepada kamu upah untuk ini; upahku, tidak lain, hanyalah atas Pemelihara semua alam." (26:180)
Upah menyampaikan pelajaran agama terletak hanya ke atas Allah. Manusia tidak perlu membayar upah, gaji atau ganjaran kepada orang-orang yang berkenaan.
Nabi Muhammad juga didapati tidak mengambil upah dalam menyampaikan agama, atau menyampaikan al-Qur'an. Ayat-ayat yang berkaitan boleh dikatakan banyak, dan di bawah ini adalah tiga sahaja:
"Kamu (Muhammad) tidak meminta upah untuknya; ia tidak lain hanyalah peringatan bagi semua alam." (12:104)
"Katakanlah (Muhammad), 'Aku  tidak meminta upah kepada kamu untuk ini, ia hanyalah bagi orang yang menghendaki untuk mengambil kepada Pemeliharanya satu jalan.'" (25:57)
"Katakanlah (Muhammad), 'Aku tidak meminta upah daripada kamu; itu adalah untuk kamu. Upahku, tidak lain, hanyalah atas Allah; dan Dia saksi atas segala sesuatu.'" (34:47)
Justeru, Nabi Muhammad adalah tidak seperti orang-orang yang, pada hari ini, mengajar atau menceramahkan agama, lagi menegaskan betapa pentingnya kasih akan baginda dengan mentaati "sunnahnya", tetapi mereka mengambil upah pula untuk menyara diri dan keluarga dengan selesa.
Seperti itu juga amalan nabi-nabi sebelum Muhammad. Semua tidak mengambil sebarang upah lalu mereka mendapat petunjuk. Firman-Nya:
"Mereka itulah orang-orang yang kepada mereka Kami memberikan Kitab, dan Putusan, dan Kenabian..... Mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk; maka ikutlah petunjuk mereka. Katakanlah, 'Aku tidak meminta kepada kamu upah untuknya; ia hanyalah satu peringatan untuk semua alam.'" (6:89-90)
Sesungguhnya, orang-orang yang mengambil upah untuk mengajar atau menceramahkan agama tidak dapat petunjuk yang benar, dan mereka tidak seharusnya diikuti oleh orang-orang yang mendengarkan mereka. Firman-Nya:
"Ikutlah orang yang tidak meminta upah kepada kamu, merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk yang benar." (36:21)
Kerana mereka tidak mendapat petunjuk yang benar, dan umat mengikutinya dengan kasih, maka agama Islam pada hari ini tidak menjadi seperti yang diajar di dalam al-Qur'an. Islam tidak menjadi suci lagi dan kelihatan berada hanya di bibir sahaja.
Telah timbul satu pertanyaan daripada mereka yang mengambil upah, iaitu bagaimana pula hendak menyara hidup diri dan keluarga tanpanya? Pertanyaan itu terjawab dengan wujudnya sebuah ayat al-Qur'an mengenai suatu kisah daripada riwayat hidup nabi Musa, berbunyi:
"Kemudian datang seorang daripada dua perempuan kepadanya, berjalan dengan malu, dan berkata, 'Bapaku memanggil kamu supaya dia membalas kamu dengan upah kerana kamu memberi minum untuk kami.'" (28:25)
Nabi Musa telah menolong memberi minum kepada ternakan yang digembala oleh dua orang perempuan adik-beradik di Madyan, kerana bapa mereka sangat tua. Atas usahanya itu dia diberi upah oleh bapa adik-beradik tersebut, dan dia menerimanya.

Baginda telah menerima upah bukan atas pengajaran agama tetapi usaha yang dititikpeluhkan ke atas yang selain daripada itu. Maka, orang-orang yang menyampaikan ajaran agama, pada hari ini, haruslah menyara hidup mereka dan keluarga dengan bekerja keras seperti orang lain, misalan, menjadi guru bahasa Arab supaya al-Qur'an dapat difahami, atau menjadi penternak, peniaga, pedagang, petani, nelayan atau kerja-kerja lain yang bermanfaat kepada manusia, tetapi bukan mengajar atau menceramahkan agama.

Dalam agama Islam yang sebenar, orang-orang yang diberi upah untuk mengajar agama tidak wujud. Didikan agama terletak di tangan ketua keluarga, atau bapa, seperti firman Allah yang berbunyi,
"Wahai orang-orang yang percaya, lindungilah diri kamu dan keluarga kamu daripada Api yang bahan bakarnya manusia dan batu" (66:6).
Pihak bapa pula harus menjadi orang yang mengetahui al-Kitab kerana mempelajarinya, bukan menjadi hamba kepada Nabi. Firman-Nya:
"Tiadalah bagi seseorang manusia bahawa Allah memberinya al-Kitab, dan Pemutus, dan Kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia, 'Jadilah kamu hamba-hamba kepadaku selain daripada Allah.' Tetapi, 'Jadilah kamu orang-orang rabani (yang menguasai) dengan sebab kamu mengetahui al-Kitab, dan dengan sebab kamu mempelajarinya.'" (3:79)
Untuk mendapat petunjuk selanjutnya, atau memantapkan lagi petunjuk padanya, dia harus mendengar semua pendapat atau ucapan orang lain, dan ikut yang paling baik daripadanya. Maksud firman Allah:
"Yang mendengar ucapan, dan mengikuti yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang yang mempunyai minda." (39:18)
Dengan cara itu, umat tidak dirugikan di sakunya, dan yang lebih utama, Islam tidak dibengkokkan oleh orang-orang yang mengambil upah, gaji atau ganjaran dalam mengajar atau menceramahkan agama, yang kumpulannya menjadi semakin besar dan berkuasa dari semasa ke semasa.

0 comments:

Post a Comment

Blogger Tricks

Powered by Blogger.