Friday 14 October 2011

Adam dan Hawa

Adam dan isteri dikisahkan di dalam al-Qur'an dan juga Bible. Namun, ceritanya tidak semuanya sama. Perbezaan turut dikesan pada cerita ulama palsu dunia Islam.

Cerita mereka didapati condong sedikit kepada Bible, umpamanya kisah bagaimana isteri Adam, iaitu perempuan yang pertama di dunia, dicipta. Nama "Hawa" yang mereka gunakan juga diceduk daripada Bible.

Untuk menunjukkan perbezaan tersebut, di halaman ini, diturunkan petikan ayat-ayat al-Qur'an dan Bible. Hadis Bukhari juga tidak ditinggalkan. Ayat-ayat al-Qur'an dipetik daripada [sumber] sementara ayat-ayat Bible daripada Bible versi bahasa Melayu, bernama ALKITAB, yang diterbitkan oleh Lembaga Alkitab Indonesia, Jakarta (1996). Hadis Bukhari pula disalin daripada CD terbitan Islamic Computing Centre, London (1994).

Bermula dengan cerita ciptaan Adam. Menurut al-Qur'an, Adam dicipta daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk, dan kemudian Allah menghembuskan Roh-Nya ke dalamnya. Firman-Nya:
"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Sesungguhnya, Aku mencipta seorang manusia daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk, Apabila Aku telah membentukkannya, dan menghembuskan Roh-Ku ke dalamnya, jatuhlah kamu dengan bersujud kepadanya.'" (15:28-29)
Semua malaikat sujud, kecuali Iblis. Iblis adalah daripada jenis jin (18:50). Jin dicipta daripada api yang membakar (15:27).
Di dalam ALKITAB pula, Adam dikatakan telah dicipta daripada debu tanah. Kemudian tuhan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya. Ayat ALKITAB yang berkenaan berbunyi,
"TUHAN Allah membentuk manusia itu dari debu tanah dan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya; demikianlah manusia itu menjadi makhluk yang hidup." (Kejadian 2:7)
ALKITAB tidak menceritakan mengenai malaikat-malaikat yang sujud, dan tidak juga menyebut sedikit pun mengenai Iblis.

Isteri Adam disebut buat pertama kali di dalam al-Qur'an dalam ayat yang menyusul peristiwa keengganan Iblis untuk sujud kepada Adam. Contoh, pada ayat-ayat yang diturunkan selepas perenggan yang berikut.

Pengisahan diteruskan - bermula dari perintah Allah ke atas para malaikat supaya sujud kepada Adam hingga ke larangan daripada mendekati sepohon pokok yang dikenakan ke atas Adam dan isterinya. Ketika itu mereka berada di Jannah. (Dialog Allah-Iblis ketika ia enggan sujud kepada Adam tidak terdapat di dalam ayat-ayat di bawah, tetapi boleh dibaca di sini.)
"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam', lalu mereka sujud kecuali Iblis. Ia enggan, dan ia sombong, dan ia menjadi antara orang-orang yang tidak percaya (kafir). Dan Kami berkata, 'Wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di Taman (Jannah), dan makanlah daripadanya dengan senang di mana kamu menghendaki, tetapi jangan mendekati pokok ini, supaya kamu tidak menjadi orang-orang yang zalim.'" (2:34-35)
"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam'; maka mereka sujud, kecuali Iblis; ia enggan. Kemudian Kami berkata, 'Wahai Adam, sesungguhnya ini musuh bagi kamu, dan isteri kamu. Maka janganlah ia mengeluarkan kamu berdua dari Taman supaya kamu menjadi sengsara. Sesungguhnya bagi kamu, tidaklah kamu kelaparan di dalamnya, dan tidak juga kamu bertelanjang, Dan tidak juga kamu berasa dahaga di dalamnya, dan tidak juga kepanasan.'" (20:116-119)
Kemudian, syaitan berbisik kepada Adam untuk menghasut supaya dia dan isterinya melanggar larangan daripada Allah itu. Bisikan atau pujukannya berbunyi,
"Kemudian syaitan membisikkan kepadanya, dengan berkata, 'Wahai Adam, bolehkah aku menunjukkan kepada kamu Pokok Yang Berkekalan, dan sebuah kerajaan yang tidak binasa?'" (20:120)
"Berkata (syaitan), 'Pemelihara kamu melarang kamu daripada pokok ini hanya supaya kamu menjadi malaikat-malaikat, atau kamu menjadi makhluk-makhluk yang hidup berkekalan.' Dan ia bersumpah kepada mereka, 'Sesungguhnya aku, kepada kamu, adalah penasihat.'" (7:20-21)
Setelah Adam dan isteri merasakan pokok itu, bahagian-bahagian aib mereka menjadi nyata kepada mereka. Lalu mereka menjahit daun-daun Taman pada mereka. Seterusnya mereka dipanggil oleh Allah, dimarahi, dan akhirnya diusir keluar dari Taman. Firman-Nya,
"Maka ia (syaitan) membujuk mereka dengan tipuan; dan apabila mereka merasakan pokok itu, bahagian-bahagian aib mereka menjadi nyata kepada mereka, lalu mereka mulai menjahit pada mereka daun-daun Taman. Dan Pemelihara mereka memanggil mereka, 'Tidakkah Aku telah melarang kamu berdua daripada pokok ini, dan berkata kepada kamu, Sesungguhnya syaitan bagi kamu adalah musuh yang nyata?'
Mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, kami telah menzalimi diri-diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan mengasihani kami, tentu kami menjadi antara orang-orang yang rugi.'
Berkata, 'Turunlah kamu, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Di bumi tempat menginap bagi kamu, dan kesenangan untuk satu waktu.'  
Berkata, 'Di dalamnya kamu hidup, dan di dalamnya kamu mati, dan darinya kamu akan dikeluarkan.'" (7:22-25)
Allah menerima taubat mereka dan memberi mereka petunjuk. Sebelum mereka meninggalkan Taman, Allah berpesan agar mereka tidak berpaling daripada petunjuk yang Dia turunkan. Firman-Nya,
"Setelah itu Pemeliharanya memilihnya, dan menerima taubatnya, dan Dia memberinya petunjuk. Berkata, 'Turunlah kamu, kedua-dua kamu bersama-sama, keluar darinya, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain; tetapi jika datang kepada kamu daripada-Ku petunjuk, maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, tidak akan sesat, dan tidak juga dia menjadi sengsara. Tetapi, sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, baginya penghidupan yang sempit, dan pada Hari Kiamat, Kami membangkitkan dia buta.'" (20:122-124)
Di dalam ALKITAB (Bible versi bahasa Melayu), setelah Adam dicipta, dia ditempatkan di taman Eden. (Pada ayat-ayat yang diturunkan di halaman ini, nama Adam dan Hawa tidak disebut. Adam disebut sebagai "manusia itu" dan Hawa, "perempuan" atau "isterinya". Nama mereka mula disebut dalam ayat-ayat yang kemudian):
"TUHAN Allah mengambil manusia itu dan menempatkannya dalam taman Eden untuk mengusahakan dan memelihara taman itu." (Kejadian 2:15)
Selepas itu barulah perempuan dicipta iaitu apabila Adam mendapati tiada penolong yang sepadan baginya:
"... tetapi baginya sendiri ia tidak menjumpai penolong yang sepadan dengan dia. Lalu TUHAN Allah membuat manusia itu tidur nyenyak; ketika ia tidur, TUHAN Allah mengambil salah satu rusuk dari padanya, lalu menutup tempat itu dengan daging. Dan dari rusuk yang diambil TUHAN Allah dari manusia itu, dibangun-Nyalah seorang perempuan, lalu dibawa-Nya kepada manusia itu.
Lalu berkatalah manusia itu: 'Inilah dia, tulang dari tulangku dan daging dari dagingku. Ia akan dinamai perempuan, sebab ia diambil dari laki-laki.' Sebab itu seorang laki-laki akan meninggalkan ayahnya dan ibunya dan bersatu dengan isterinya, sehingga keduanya menjadi satu daging. Mereka keduanya telanjang, manusia dan isterinya itu, tetapi mereka tidak merasa malu." (Kejadian 2:20-25)
Justeru, menurut ALKITAB, perempuan dicipta daripada tulang rusuk lelaki. Seperti itulah jua cerita ulama palsu dalam dunia Islam. Akan tetapi, al-Qur'an menyatakan bahawa (semua) manusia dicipta daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk (15:26), dan selanjutnya menyatakan bahawa mereka dicipta daripada jiwa yang satu. Firman-Nya:
"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu yang mencipta kamu daripada jiwa yang satu, dan daripadanya (jiwa yang satu juga) Dia menciptakan pasangannya, dan daripada keduanya, ditaburkan di merata-rata banyak lelaki dan perempuan;" (4:1)
("Manusia" atau "kamu" dan "pasangannya" - masing-masing dicipta daripada "jiwa (nafs) yang satu".)
Satu lagi perbezaan yang dapat dikesan adalah pada keadaan Adam dan isterinya. ALKITAB menyatakan mereka berada dalam keadaan telanjang, semasa berada di Taman, tetapi al-Qur'an menyatakan sebaliknya (sila lihat 20:116-119 yang sudah diturunkan).

Petikan daripada ALKITAB diteruskan dengan cerita Adam dan isteri digoda. Di dalam al-Qur'an mereka digoda oleh syaitan sementara dalam ALKITAB mereka digoda oleh seekor ular. Perihal siapa yang digoda juga berlainan. Al-Qur'an menyatakan Adam (20:115, dan ayat 20:120 di atas) tetapi ALKITAB menyatakan isterinya yang mula digoda yang tergoda. Begini ceritanya:
"Adapun ular ialah yang paling cerdik dari segala binatang di darat yang dijadikan oleh TUHAN Allah. Ular itu berkata kepada perempuan itu: 'Tentulah Allah berfirman: Semua pohon dalam taman ini jangan kamu makan buahnya, bukan?'
Lalu sahut perempuan itu kepada ular itu: 'Buah pohon-pohonan dalam taman ini boleh kami makan, tetapi tentang buah pohon yang ada di tengah-tengah taman, Allah berfirman: Jangan kamu makan ataupun raba buah itu, nanti kamu mati.'
Tetapi ular itu berkata kepada perempuan itu: 'Sekali-kali kamu tidak akan mati, tetapi Allah mengetahui, bahwa pada waktu kamu memakannya matamu akan terbuka, dan kamu akan menjadi seperti Allah, tahu tentang yang baik dan yang jahat.'
Perempuan itu melihat, bahwa buah pohon itu baik untuk dimakan dan sedap kelihatannya, lagipula pohon itu menarik hati karena memberi pengertian. Lalu ia mengambil dari buahnya dan dimakannya dan diberikannya juga kepada suaminya yang bersama-sama dengan dia, dan suaminyapun memakannya.
Maka terbukalah mata mereka berdua dan mereka tahu, bahwa mereka telanjang; lalu mereka menyemat daun pokok ara dan membuat cawat." (Kejadian 3:1-7)
Al-Qur'an tidak menyebut "buah" tetapi hanya pokok; tidak menyebut daun pokok ara, tetapi hanya daun-daun Taman.
Setelah memakan buah, dan mata jadi terbuka, datanglah Tuhan yang digambarkan seperti seorang manusia. Lalu Dia berkata-kata kepada ketiga-tiga yang bersalah:
"Ketika mereka mendengar bunyi langkah TUHAN Allah, yang berjalan-jalan dalam taman itu pada waktu hari sejuk, bersembunyilah manusia dan isterinya itu terhadap TUHAN Allah di antara pohon-pohonan dalam taman.
Tetapi TUHAN Allah memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya: 'Di manakah engkau?'
Ia menjawab: 'Ketika aku mendengar, bahwa Engkau ada dalam taman ini, aku menjadi takut, karena aku telanjang; sebab itu aku bersembunyi.'
Firman-Nya: 'Siapakah yang memberitahukan kepadamu, bahwa engkau telanjang? Apakah engkau makan dari buah pohon, yang Kularang engkau makan itu?'
Manusia itu menjawab: 'Perempuan yang Kautempatkan di sisiku, dialah yang memberi dari buah pohon itu kepadaku, maka kumakan.'
Kemudian berfirmanlah TUHAN Allah kepada perempuan itu: 'Apakah yang telah kauperbuat ini?'
Jawab perempuan itu: 'Ular itu yang memperdayakan aku, maka kumakan.'
Lalu berfirmanlah TUHAN Allah kepada ular itu: 'Kerana engkau berbuat demikian, terkutuklah engkau di antara segala ternak dan di antara segala binatang hutan; dengan perutmulah engkau akan menjalar dan debu tanahlah akan kaumakan seumur hidupmu. Aku akan mengadakan permusuhan antara engkau dan perempuan ini, antara keturunanmu dan keturunannya; keturunannya akan meremukkan kepalamu, dan engkau akan meremukkan tumitnya.'
Firman-Nya kepada perempuan itu: 'Susah payahmu waktu mengandung akan Kubuat sangat banyak; dengan kesakitan engkau akan melahirkan anakmu; namun engkau akan berahi kepada suamimu dan ia akan berkuasa atasmu.'
Lalu firman-Nya kepada manusia itu: 'Karena engkau mendengarkan perkataan isterimu dan memakan dari buah pohon, yang telah Kuperintahkan kepadamu: Jangan makan dari padanya, maka terkutuklah tanah karena engkau; dengan bersusah payah engkau akan mencari rezekimu dari tanah seumur hidupmu; semak duri dan rumput duri yang akan dihasilkannya bagimu, dan tumbuh-tumbuhan di padang akan menjadi makananmu; dengan berpeluh engkau akan mencari makananmu, sampai engkau kembali lagi menjadi tanah, karena dari situlah engkau diambil; sebab engkau debu dan engkau akan kembali menjadi debu.' (Kejadian 3:8-19)
Kemudian dia diusir dari taman Eden:
"Lalu TUHAN Allah mengusir dia dari taman Eden supaya ia mengusahakan tanah dari mana ia diambil." (Kejadian 3:23)
Perempuan yang dimaksudkan di situ ialah Hawa (nama Hawa tidak disebut di dalam al-Qur'an). Kali pertama nama itu disebut di dalam ALKITAB adalah pada ayat Kejadian 3:20, dan Adam pula, ayat Kejadian 4:25.

Kisah Adam dan Hawa daripada ALKITAB (Bible bahasa Melayu) telah mempengaruhi pemikiran kebanyakan orang Islam. Terutamanya cerita mengenai ciptaan perempuan pertama di dunia yang dikatakan dicipta daripada tulang rusuk lelaki iaitu tulang yang bengkok. Dari situ bermulalah kepercayaan bahawa kaum perempuan sifatnya bengkok, lalu mereka berkedudukan rendah daripada lelaki.

Tentu tidak keterlaluan apabila mengatakan iaitu Imam Bukhari adalah orang Islam yang pertama percaya kepada cerita yang tidak sahih itu. Kerana, antara lima kitab hadis yang terbesar di dunia Islam, hanya kitab beliau yang meriwayatkan mengenai tulang rusuk yang bengkok tersebut. Kitab-kitab lain tidak menyebutnya langsung. 

Di dalam kitab Bukhari terdapat dua hadis mengenai perkara berkenaan. Kedua-duanya diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Satu daripadanya menyatakan tulang rusuk yang paling bengkok, yang terletak di atas sekali.

Adalah dipercayai bahawa lima kitab yang pertama (termasuk Kejadian) di dalam Bible atau ALKITAB telah ditulis oleh seorang ulama agama bangsa Yahudi bernama Ezra, atau Uzair, seperti yang disebut di dalam al-Qur'an. Dengan itu, dirasakan amat ralat sekali apabila didapati ajaran Yahudi telah menyusup masuk ke dalam kepercayaan orang Islam setelah nama Nabi atau Rasul yang selamanya disanjung digunakan.

Barangkali Imam Bukhari tidak menyedari bahawa cerita daripada ALKITAB yang berkenaan tidak disahihkan oleh al-Qur'an. Ia berlaku mungkin kerana beliau terlepas pandang sebuah ayat yang menunjukkan bahawa al-Qur'an diturunkan sebagai kawalan mutu ke atas kitab-kitab sebelumnya. Ayat tersebut berbunyi,
"Dan Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, yang mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkanlah antara mereka menurut apa yang Allah menurunkan, dan janganlah mengikuti keinginan mereka untuk mengabaikan yang benar yang datang kepada kamu." (5:48)
Masanya agak terlewat untuk menghapuskan kepercayaan yang telah disuntik oleh Imam Bukhari ke dalam Islam, mengenai kaum wanita, setelah ia dikecapi oleh golongan lelaki selama lebih seribu tahun. Dan kepercayaan itu diterima pula oleh sesetengah golongan daripada kaum tersebut. Bolehkah sekarang diajak umat Islam untuk mendustakan Bukhari tanpa dihukum sebagai anti-Islam, antihadis, menghina Nabi, atau murtad?




Saturday 1 October 2011

Orang yang baik-baik

Nabi dan rasul adalah dalam golongan manusia yang dipanggil solihin atau salih atau baik. Namun, ahli golongan tersebut tidak terhad kepada mereka sahaja, malah siapa sahaja termasuk golongan paling rendah di kalangan manusia, seperti bertaraf hamba, boleh menjadi ahli, asal saja dia, lelaki atau perempuan, beramal menurut panduan Kitab al-Qur'an. Kitab tersebut banyak menyebut mengenai orang yang salih, dan ayat pertamanya berbunyi,

"Maka siapakah yang mengundurkan diri daripada anutan Ibrahim kecuali dia yang memperbodohkan dirinya sendiri? Sesungguhnya Kami telah memilihnya di dunia ini, dan di akhirat, dia termasuk orang-orang yang salih (baik)." (2:130)

Nabi Ibrahim dikatakan seorang yang salih, beranutan dengan anutan menurut namanya. Justeru dapat difahamkan bahawa orang yang salih berfahaman dan beramal menurut anutan Nabi Ibrahim. Maka sifat orang salih yang pertama dapat diringkaskan seperti berikut:

  • -menuruti anutan Ibrahim

Anutan Ibrahim turut menjadi anutan Nabi Muhammad yang membawa Kitab al-Qur'an. Kerana Kitab itu jelas dan terperinci ia selanjutnya memberi penjelasan mengenai sifat-sifat atau amalan-amalan orang salih. Mereka telah dikumpul dan disenaraikan dengan ringkas, menurut urutan ayat-ayat, seperti di bawah:

  • -jujur, dan
    -suci daripada kejahatan nafsu berahi:

    "Dan malaikat-malaikat memanggilnya, sedang dia (Nabi Zakaria) berdiri untuk menyembah di mihrab, 'Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan Yahya yang mengesahkan satu Kata Allah, dan seorang ketua, dan jujur serta suci daripada kejahatan nafsu berahi, dan seorang Nabi, dan seorang yang salih.'" (3:39)
  • -membaca ayat-ayat Allah pada tengah malam,
    -bersujud,
    -mempercayai Allah dan Hari Akhir,
    -menyuruh yang baik dan melarang yang mungkar,
    dan
    -bersegera dalam kebajikan:

    "Tidaklah mereka semua sama; sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang membaca ayat-ayat Allah pada tengah malam, dan bersujud. Mereka mempercayai Allah dan Hari Akhir, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan mereka bersegera dalam kebajikan; mereka itulah orang-orang salih." (3:113-114)
  • -mempercayai Allah, dan
    -mempercayai yang benar yang datang (al-Qur'an):
    "Tidakkah kami patut mempercayai Allah, dan yang benar yang datang kepada kami, dan menginginkan supaya Pemelihara kami memasukkan kami berserta kaum yang salih?" (5:84)
  • -bersedekah dan bernafkah:"Dan antara mereka ada yang membuat perjanjian dengan Allah, 'Jika Dia memberikan kami daripada pemberian-Nya, kami akan bersedekah, dan termasuk orang-orang yang salih.'" (9:75) Terdapat satu lagi ayat mengenai sedekah sebagai amalan orang baik:
    "Nafkahkanlah daripada apa yang Kami merezekikan kamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu, dan dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, mengapa tidak Engkau menangguhkan aku kepada satu tempoh yang dekat, supaya aku bersedekah, dan jadilah aku termasuk orang-orang yang salih (baik).'” (63:10)
  • -menepati perjanjian Allah dan tidak melanggar perjanjian,
    -menghubungkan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan,
    -takut kepada Tuhan dan perhitungan yang jahat,
    -bersabar,
    -melakukan solat,
    -menafkahkan daripada rezeki yang diterima, secara rahsia atau terbuka,
    dan
    -menolak kejahatan dengan yang baik:

    "Yang menepati perjanjian Allah, dan tidak melanggar perjanjian, Yang menghubungkan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan, dan takut kepada Pemelihara mereka, dan mereka takut akan perhitungan yang jahat. Orang-orang yang bersabar, dengan menginginkan Wajah Pemelihara mereka, melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, dan yang menolak kejahatan dengan yang baik - bagi merekalah tempat kediaman muktamad, Taman-Taman Adn mereka masuk, dan orang-orang yang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka, dan para malaikat masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu," (13:20-23)
Sedikit penjelasan mengenai maksud perjanjian Allah. Ia boleh bermaksud sesuatu perintah Allah seperti disebut ayat berbunyi, "Dan bahawa kamu tidak mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik, sehingga dia dewasa. Dan tepatilah sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak membebani sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, berlakuadillah, walaupun ia kepada sanak saudara yang dekat. Dan tepatilah perjanjian Allah. Itulah yang Dia mewasiatkan kamu dengannya, supaya kamu ingat." (6:152)
Catatan ringkas mengenai sifat atau amalan yang dilakukan oleh orang-orang baik disambung di bawah ini:

  • -bersifat kesal: "Pemelihara kamu sangat mengetahui apa yang di dalam jiwa kamu jika kamu orang-orang salih (baik); sesungguhnya Dialah Pengampun kepada orang-orang yang kesal." (17:25)
  • -berjuang di jalan Allah,
    -percaya dan buat kerja-kerja kebaikan,
    dan
    -buat baik kepada ibu bapa tetapi mereka tidak ditaati jika mengajak berjuang untuk menyekutukan Allah:

    "Sesiapa berjuang, dia berjuang hanya untuk dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Kaya daripada semua alam. Dan orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, sungguh, Kami akan melepaskan mereka daripada kejahatan-kejahatan mereka, dan Kami akan membalas mereka dengan yang paling baik daripada apa yang mereka buat.
    Kami mewasiatkan manusia supaya dia berbuat baik kepada ibu bapanya; tetapi jika mereka berjuang dengan kamu untuk kamu menyekutukan Aku dengan yang padanya kamu tiada pengetahuan, maka jangan mentaati mereka; kepada Aku kamu akan kembali, dan Aku akan memberitahu kamu apa kamu buat. Dan orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, sungguh, Kami akan memasukkan mereka di kalangan orang-orang yang salih." (29:6-9)
    serta,
     
  • -bertaubat dan
    -mengikuti jalan Allah:


    "Wahai Pemelihara kami, dan masukkanlah mereka (yang bertaubat dan mengikuti jalan Allah) ke Taman Adn yang Engkau menjanjikan mereka dan orang-orang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka; sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana." (40:8)

Senarai amalan orang baik diakhiri dengan suatu yang khas bagi kaum perempuan, iaitu:
  • -wanita yang patuh, dan menjaga yang rahsia kerana Allah menjaganya:

    "Lelaki-lelaki adalah pengurus-pengurus urusan perempuan, dengan sebab Allah melebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian lain, dan kerana mereka menafkahkan daripada harta mereka. Maka wanita-wanita yang salih ialah yang patuh, yang menjaga yang rahsia kerana Allah menjaganya..." (4:34)

Selanjutnya daripada al-Qur'an, disebut mengenai orang baik yang membuat kerja-kerja kebaikan ('amilu solihan) yang memuaskan hati Allah. Nabi Sulaiman telah memohon untuk menjadi orang salih yang berbuat demikian. Doanya berbunyi,

"Wahai Pemeliharaku, sediakanlah aku supaya aku berterima kasih atas rahmat Engkau, yang dengannya Engkau merahmati aku, dan bapaku, dan ibuku; dan supaya aku membuat kerja-kerja kebaikan yang sangat memuaskan hati Engkau, dan masukkanlah aku, dengan pengasihan Engkau, di kalangan hamba-hamba Engkau yang salih." (27:19)

Lalu al-Qur'an diimbas untuk menggali keluar amalan-amalan yang disebut mampu memuaskan hati-Nya. Senarai mereka diringkaskan juga, dan diturunkan di bawah ini:

  • benar dengan janji,
    menyuruh keluarga bersolat dan zakat:

    "Dan ingatlah (sebutlah) di dalam Kitab, Ismail; dia benar dengan janjinya, dan dia seorang rasul, seorang Nabi. Dia menyuruh keluarganya supaya bersolat dan zakat, dan dia memuaskan hati Pemeliharanya." (19:54-55)
  • tidak sombong tapi menjual diri kepada Allah:
    "Dan apabila dikatakan kepadanya, 'Takutilah Allah', kesombongan mengambilnya dalam dosanya. Maka cukuplah untuk dia Jahanam - betapa buruknya buaian! Dan antara manusia ada yang menjual diri-diri mereka kerana menginginkan kepuasan hati Allah; dan Allah Lembut kepada hamba-hamba-Nya." (2:206-207)
  • menafkahkan harta:

    "Tetapi persamaan orang-orang yang menafkahkan harta mereka dengan menginginkan kepuasan hati Allah, dan untuk meneguhkan diri mereka, ..." (2:265)
  • bertakwa:

    "Katakanlah, 'Bolehkah aku memberitahu kamu yang lebih baik daripada itu? Bagi orang-orang bertakwa, di sisi Pemelihara mereka taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dan teman-teman hidup yang dibersihkan, dan kepuasan hati Allah. Dan Allah melihat hamba-hamba-Nya.'" (3:15)
  • tidak menipu:

    "Tiadalah bagi seorang Nabi untuk dia menipu, dan sesiapa menipu akan datang dengan apa yang ditipukannya pada Hari Kiamat; kemudian tiap-tiap jiwa akan dibayar sepenuhnya apa yang ia mengusahakan, dan mereka tidak dizalimi. Apa, adakah orang mengikuti kepuasan hati Allah itu sama seperti orang dipenuhi beban kemurkaan Allah, yang tempat menginapnya Jahanam? Satu kepulangan yang buruk!" (3:161-162)
  • tidak rasa takut tetapi keimanan bertambah apabila diberitahu musuh sudah berkumpul untuk menyerang:
    "Orang-orang yang kepada mereka manusia berkata, 'Manusia telah berkumpul terhadap kamu, kerana itu takutilah mereka'; tetapi ia menambahkan mereka dalam keimanan, dan mereka berkata, 'Cukuplah Allah bagi kami. Wakil yang sangat baik!' Maka mereka balik dengan rahmat dan pemberian daripada Allah, tidak disentuh keburukan; mereka mengikuti kepuasan hati Allah; dan Allah mempunyai pemberian yang besar." (3:173-174)
  • bicara rahsia untuk memberi sedekah, atau apa yang baik, serta
    membetulkan antara manusia:

    "Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan pembicaraan rahsia mereka, melainkan bagi orang yang menyuruh memberi sedekah, atau apa yang baik, atau memperbetulkan antara manusia. Sesiapa berbuat demikian itu dengan menginginkan kepuasan hati Allah, sungguh Kami akan memberinya upah yang besar." (4:114)
  • mengunjungi Rumah Suci (Haji):

    "Wahai orang-orang yang percaya, jangan melanggar tanda-tanda Allah, dan bulan-bulan haram, dan pemberiannya, dan rantai leher, dan juga orang-orang yang mengunjungi Rumah Suci yang bermaksud untuk mencari daripada Pemelihara mereka, pemberian dan kepuasan hati." (5:2)
  • percaya,
    berhijrah,
    dan
    berjuang di jalan Allah dengan harta dan jiwa:


    "Orang-orang yang percaya, dan berhijrah, dan berjuang di jalan Allah dengan harta mereka, dan jiwa mereka, adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah; dan mereka itu, merekalah orang-orang yang menang. Pemelihara mereka memberi mereka berita gembira dengan pengasihan daripada-Nya, dan kepuasan hati; bagi mereka, taman-taman yang di dalamnya kebahagiaan yang kekal." (9:20-21)
  • lelaki dan perempuan mukmin yang menyuruh yang baik,
    melarang kemungkaran,
    melakukan solat,
    memberi zakat,
    dan
    mentaati Allah dan rasul-Nya:


    "Dan orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, adalah wali-wali (sahabat-sahabat) satu sama lain; mereka menyuruh yang baik, dan melarang kemungkaran; mereka melakukan solat, dan memberikan zakat, dan mereka mentaati Allah dan rasul-Nya. Mereka itu, kepada mereka Allah mengasihani; sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana. Allah menjanjikan orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, dengan taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, tinggal selama-lamanya di dalamnya, dan tempat-tempat tinggal yang baik di Taman-Taman (Jannah) Adn; dan yang lebih besar, kepuasan hati Allah; itulah kemenangan yang besar." (9:71-72)
  • keras terhadap orang tidak percaya,
    pengasih sesama sendiri,
    tuduk
    dan sujud kepada Allah:

    "Muhammad adalah rasul Allah, dan orang-orang bersama dia, keras terhadap orang-orang yang tidak percaya, pengasih sesama mereka. Kamu melihat mereka tunduk, sujud, mencari pemberian daripada Allah, dan kepuasan hati." (48:29)
  • tidak mengutamakan kesenangan dunia:
    "Ketahuilah bahawa kehidupan dunia adalah tiada, melainkan satu permainan, dan satu hiburan, dan perhiasan, dan bermegah-megah antara kamu, dan persaingan dalam harta dan anak-anak. Ia persamaan hujan di mana tanamannya mengagumkan orang-orang yang tidak percaya; kemudian ia menjadi kering, dan kamu melihatnya menjadi kuning, kemudian ia menjadi jerami yang hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras, dan keampunan daripada Allah, dan kepuasan hati; dan kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang menipukan." (57:20)
  • berhijrah kerana diusir daripada tempat tinggal dan harta mereka:
    "Ia adalah untuk penghijrah-penghijrah yang fakir (memerlukan), yang diusir daripada tempat tinggal mereka dan harta benda mereka, untuk mencari pemberian daripada Allah dan kepuasan hati, dan menolong Allah dan rasul-Nya; mereka itu, merekalah orang-orang yang benar." (59:8) dan,
  • keluar berjuang di jalan Allah:
    "Wahai orang-orang yang percaya, jangan mengambil musuh-Ku dan musuh kamu untuk wali (sahabat), dengan menyampaikan kasih sayang kepada mereka, sesungguhnya mereka tidak percaya kepada yang benar yang datang kepada kamu, dengan mengusir rasul dan kamu kerana kamu mempercayai Allah, Pemelihara kamu. Jika kamu keluar untuk berjuang di jalan-Ku dan menginginkan kepuasan hati-Ku, dengan merahsiakan kasih sayang kepada mereka, dan Aku sangat mengetahui apa yang kamu menyembunyikan dan apa yang kamu menyiarkan; dan sesiapa antara kamu berbuat demikian itu, dia sesat daripada jalan yang betul." (60:1)

Jalan-jalan yang dinyatakan itu adalah jalan-jalan kesejahteraan yang ditunjuki Allah bagi orang-orang yang mengikuti kepuasan hati-Nya, di samping memberi petunjuk kepada jalan lurus. Demikian difahamkan daripada Kitab al-Qur'an, melalui firman-Nya,
"Wahai ahli Kitab, sungguh telah datang kepada kamu rasul Kami, dengan memperjelaskan kepada kamu banyak perkara yang kamu menyembunyikan daripada Kitab, dan banyak yang dimaafkan. Telah datang kepada kamu daripada Allah satu cahaya, dan sebuah Kitab yang jelas. Allah memberi petunjuk kepada siapa mengikuti kepuasan hati-Nya pada jalan-jalan kesejahteraan, dan mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya dengan izin-Nya; dan Dia memberi petunjuk kepada mereka pada jalan lurus." (5:15-16)


Kembali kepada perbincangan mengenai orang salih atau orang baik. Mereka dirahmati Allah, bersama para Nabi, orang-orang yang benar, dan para syahid (saksi) yang turut dirahmati Allah. Tergolong dalam golongan mereka ialah hamba-hamba perempuan dan segolongan jin yang salih. Ayat-ayat berikut menjelaskan:

"Sesiapa mentaati Allah dan rasul, mereka adalah bersama-sama orang-orang yang Allah merahmati, daripada Nabi-Nabi, dan orang-orang yang benar, dan para syahid (saksi), dan orang-orang salih; merekalah teman-teman yang baik!" (4:69),

"Kahwinlah orang-orang yang tanpa teman hidup di kalangan kamu, dan hamba-hamba kamu, dan hamba-hamba perempuan yang salih; jika mereka fakir, Allah akan memberi kecukupan kepada mereka daripada pemberian-Nya; Allah Merangkumi, Mengetahui." (24:32) dan,

"Dan sebahagian daripada kami (jin) adalah yang salih, dan sebahagian daripada kami tidak demikian; jalan-jalan (tarekat) kami berlainan." (72:11)

Darjat orang salih menjadi idaman. Ia dipohon kepada Allah supaya dapat disatukan dengan mereka di akhirat. Termasuk mereka yang memohon ialah Nabi Yusuf dan Nabi Ibrahim. Doa mereka berbunyi,

"Wahai Pemeliharaku, Engkau telah memberikan aku (Yusuf) untuk memerintah, dan Engkau telah mengajar aku interpretasi hadis (mimpi). Wahai Pemula langit dan bumi, Engkau Waliku (Pelindungku) di dunia dan akhirat. Matikanlah aku dalam kemusliman, dan satukanlah aku dengan orang-orang yang salih." (12:101) dan,

"Wahai Pemeliharaku, berilah aku (Ibrahim) putusan, dan satukanlah aku dengan orang-orang yang salih," (26:83)

Terdapat juga doa untuk mendapatkan anak yang salih, tetapi ada juga manusia setelah mendapatnya mengadakan sekutu bagi Allah pula, mungkin dengan menunjukkan kepada sesuatu yang bukan Allah yang mengurniakannya. Ayat-ayat yang memberitahu berbunyi,

"Wahai Pemeliharaku, berilah aku yang termasuk orang-orang salih." (37:100) dan,

"Dia yang mencipta kamu daripada jiwa yang satu, dan membuatkan daripadanya teman hidupnya supaya dia berehat padanya. Kemudian, apabila dia menutupinya, dia (perempuan) membawa beban yang ringan, dan dia melalui dengannya. Apabila ia menjadi berat, mereka berseru kepada Allah, Pemelihara mereka, 'Jika Engkau memberi kami anak yang salih, sungguh kami menjadi daripada orang-orang yang berterima kasih.'
Tetapi apabila Dia memberikan mereka anak yang salih, mereka mengadakan bagi-Nya sekutu-sekutu, pada apa Dia telah memberikan mereka. Tingginya Allah daripada apa yang mereka menyekutukan!" (7:189-190)

Masih dengan doa. Adalah difahamkan para malaikat yang membawa Arasy dan yang di sekelilingnya berdoa untuk orang-orang salih, bapa-bapa, isteri-isteri, dan keturunan mereka yang salih - berdoa semoga mereka dilindungi daripada azab Jahim, dilindungi daripada kejahatan-kejahatan, dan dimasukkan ke Taman Adn pada Hari Kiamat. Doa tersebut berbunyi,

"Mereka yang membawa Arasy, dan mereka di sekelilingnya, menyanjung dengan memuji Pemelihara mereka, dan mempercayai-Nya, dan mereka meminta ampun untuk orang-orang yang percaya, 'Wahai Pemelihara kami, Engkau merangkumi segala sesuatu dalam pengasihan dan pengetahuan; maka ampunilah orang-orang yang bertaubat, dan mengikuti jalan Engkau, dan lindungilah mereka daripada azab Jahim.
Wahai Pemelihara kami, dan masukkanlah mereka ke Taman Adn yang Engkau menjanjikan mereka dan orang-orang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka; sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana.
Dan lindungilah mereka daripada kejahatan-kejahatan; sesiapa yang Engkau melindungi daripada kejahatan-kejahatan pada hari itu, kepadanya Engkau mengasihaninya; dan itulah kemenangan yang besar." (40:7-9)

Maka, siapa sahaja yang beramal menurut yang ditetapkan Kitab, lelaki atau perempuan, mampu menjadi orang salih atau orang baik. Suatu yang menjadikan orang baik begitu istimewa ialah mendapat perlindungan Allah yang membolehkan dia menjadi sejahtera di dunia dan sejahtera di akhirat. Disudahi di sini dengan firman berkaitan berbunyi,

"Waliku (Pelindungku) ialah Allah yang menurunkan Kitab, dan Dia mengambil ke dalam perlindungan-Nya orang-orang yang salih." (7:196)

Kalimat anjing di dalam al-Qur'an

Terdapat enam perkataan anjing di dalam al-Qur'an. Daripada ayat-ayat yang berikut difahamkan bahawa anjing bukanlah najis malah ia menjadi teman bagi pemuda-pemuda beriman yang mencari perlindungan di dalam sebuah gua:

5:4. Mereka menanyai kamu mengenai apa-apa yang dihalalkan bagi mereka. Katakanlah, "Benda-benda yang baik adalah dihalalkan bagi kamu; dan daripada binatang berburu yang kamu mengajari, dengan melatih anjing untuk memburu, dengan mengajarnya seperti Allah mengajar kamu, maka makanlah apa yang ia menangkapkan untuk kamu, dan ingatlah (sebutlah) nama Allah padanya. Takutilah Allah; sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan."
(Apa yang ditangkap oleh anjing yang dilatih untuk berburu adalah halal dimakan. Anjing tidak menangkap dengan kakinya.)



7:176. Dan sekiranya Kami menghendaki, tentu Kami menaikkan dia dengannya, tetapi dia cenderung kepada bumi, dan mengikuti keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika kamu menghalaunya, ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan lidahnya juga. Itulah persamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah ceritanya supaya mereka memikirkan.
(Anjing ini tidak reti bahasa.)



18:18. Kamu menyangka bahawa mereka jaga, sedang mereka tidur, sementara Kami membalik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, dan anjing mereka menjulurkan lengannya di ambang. Sekiranya kamu melihat mereka, tentu kamu berpaling daripada mereka, melarikan diri, dan dipenuhi dengan ketakutan yang amat sangat terhadap mereka. (Sahabat orang beriman)


18:22. Mereka akan berkata, "Tiga, dan anjing mereka yang keempat di antara mereka." Dan mereka berkata, "Lima, dan anjing mereka yang keenam di antara mereka", dengan meneka terhadap yang ghaib. Dan mereka berkata, "Tujuh, dan anjing mereka yang kelapan di antara mereka." Katakanlah, "Pemeliharaku sangat mengetahui bilangan mereka, dan tiada yang mengetahuinya, kecuali sedikit." Maka janganlah berdebat dengan mereka melainkan dalam perdebatan yang lahir, dan janganlah menanyakan seseorang pun antara mereka satu keputusan.



Kisah Anjing di dalam Islam

Anjing dan manusia sudah lama berhubungan rapat. Tulang-tulang anjing primitif telah dijumpai bersama rangka-rangka manusia di dalam gua-gua Zaman Batu. Pada mulanya haiwan ini mungkin telah dilatih untuk membantu manusia dalam pemburuan dan penjagaan unggun api mereka, tetapi apabila masa beredar, dengan beransur-ansur, anjing menjadi sesuai dengan peranan kini sebagai pembantu yang setia dan teman yang rapat bagi manusia.

Ahli-ahli sejarah yang terawal telah menyebut mengenai anjing. Makam-makam dan rumah-rumah berhala di Mesir, yang dibina 5,000 tahun dahulu, dihiasi dengan gambar-gambar anjing. Dan diketahui bahawa orang-orang Mesir menyanjung anjing dengan tinggi serta menganggapnya suci, dan seperti diberitahu oleh Herodotus, seorang ahli sejarah Greek, apabila seekor anjing mati di rumah orang Mesir, seluruh keluarga itu akan berkabung.

Orang-orang Ethiopia zaman dahulu sangat menghormati anjing sehingga melantiknya menjadi raja serta memerhatikan kelakuannya dengan teliti untuk melihat sama ada ia boleh memberitahu apa yang difikir harus dilakukan dalam urusan kerajaan. Diketahui daripada gambar-gambar pada monumen-monumen orang-orang Assyria zaman dahulu bahawa mereka telah menggunakn anjing "mastiffs" untuk memburu sejak 600 S.M. lagi. 

Orang-orang Greek dan Rom juga menggunakan anjing untuk memburu, sementara untuk pertempuran, mereka senjatakan anjing-anjing berkenaan dengan relang leher yang dipasang pepaku. Mereka juga membela anjing-anjing pengawal dan anjing gembala biri-biri di samping anjing-anjing untuk menjadi teman mereka.

Di sepanjang sejarah mereka, anjing telah disayangi dan dihormati oleh kebanyakan daripada manusia di dunia ini, tetapi dengan sedikit pengecualian. Orang-orang Yahudi daripada Perjanjian Lama menghina anjing, terutamanya kerana mereka adalah pebangkai - iaitu memakan apa sahaja carikan yang dijumpai - dan kerana itu mereka dianggap pembawa penyakit. Orang-orang Hindu di India masih menganggap anjing sebagai binatang yang kotor dan mereka tidak akan mengotori tangan mereka dengan menyentuhnya. Dan orang-orang Islam juga.

Kebanyakan daripada orang Islam menganggap anjing sebagai najis. Ia tidak boleh disentuh atau dipegang pun. Apabila disentuh atau dipegang maka bahagian anggota badan yang terlibat harus dibasuh dengan air yang dicampur dengan tanah. Rumah-rumah yang dimasuki atau didiami anjing juga dibasuh dengan air yang serupa.

Sebenarnya, Allah tidak mengajar menyifatkan anjing seperti itu. Ayat-ayat al-Qur'an mengenai anjing tidak mengkategorikannya sebagai najis. Sebaliknya ia disebut sebagai teman bagi orang-orang yang percaya kepada Allah. Mereka yang percaya itu adalah pemuda-pemuda yang lari daripada orang-orang yang tidak percaya dan mengambil perlindungan di dalam sebuah gua (al-Kafhi). Allah membuatkan mereka dan anjingnya tidur selama "tiga ratus tahun, dan ditambah sembilan" (18:25) dan kemudian membangkitkan mereka. Ayat-ayat yang berikut adalah sebahagian daripada ceritanya iaitu yang mengandungi perkataan "anjing":
"Kamu menyangka bahawa mereka jaga, sedang mereka tidur, sementara Kami membalik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, dan anjing mereka menjulurkan lengannya di ambang." (18:18)
"Mereka akan berkata, 'Tiga, dan anjing mereka yang keempat di antara mereka.' Dan mereka berkata, 'Lima, dan anjing mereka yang keenam di antara mereka', dengan meneka terhadap yang ghaib. Dan mereka berkata, 'Tujuh, dan anjing mereka yang kelapan di antara mereka.'" (18:22)
Ceritanya bermula dari ayat 18:9 dan berakhir dengan ayat 18:25. Itu adalah cerita anjing sebagai teman yang rapat dan pengawal bagi orang-orang yang percaya, atau beriman, kepada Allah. Allah juga menyebut mengenai anjing yang dilatih untuk memburu. Apa yang ditangkapnya (dengan mulut) adalah halal dimakan setelah nama Allah disebut ke atas makanan itu. Firman-Nya,
"Mereka menanyai kamu mengenai apa-apa yang dihalalkan bagi mereka. Katakanlah, 'Benda-benda yang baik adalah dihalalkan bagi kamu; dan daripada binatang berburu yang kamu mengajari, dengan melatih anjing untuk memburu, dengan mengajarnya seperti Allah mengajar kamu, maka makanlah apa yang ia menangkapkan untuk kamu, dan ingatlah (sebutlah) nama Allah padanya. Takutilah Allah; sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan.'" (5:4)
Apa yang digonggong oleh anjing tersebut adalah halal dimakan. Maka, di manakah pula terletak kenajisan pada anjing?

Anjing adalah ciptaan Allah yang berguna bagi manusia. Ribuan anjing telah menyelamatkan ramai manusia, telah bekerja untuk manusia tanpa penat, dan telah menunjukkan kepada mereka akan persahabatan yang abadi.

Terdapat anjing-anjing yang dipercayakan dengan kawanan biri-biri yang banyak dan menjaga mereka malam dan siang. Terdapat juga mereka yang merangkak melalui ice dan salji untuk menyelamatkan manusia yang sesat di gunung-gunung, dan yang lain menyelamatkan ramai manusia daripada mati lemas. Anjing telah menarik kereta luncur salji dan sehingga kini pun masih menghantar surat ke bahagian utara yang bersalji.
Semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua ribuan anjing telah berkhidmat sebagai pembawa berita, sentri, penangkap tikus dan anjing Red Cross (Bulan Sabit Merah), di samping sebilangan lain dilatih untuk menyerang musuh. Mereka telah menyelamatkan ramai manusia.

Anjing terus diguna untuk mencari dan menyelamat, untuk keselamatan di udara, untuk mengesan senjata api dan dadah, dan musuh, jerangkap samar, atau bom. Juga terdapat anjing yang dilatih untuk mengesan batu zamrud di lombong-lombong dan penyakit kanser prostat di dalam sampel air kencing. Tentu ada lagi kegunaan anjing yang tidak disebut di sini.

Mereka adalah haiwan yang berguna, tetapi lebih sayangi lagi daripada mereka adalah ribuan yang lain, yang menjalani kehidupan biasa. Anjing tidak sebegitu berani dan tidak juga sebegitu bijak, namun mereka sentiasa setia, teman-teman yang disayangi.
Haiwan yang tiada serupanya ini adalah pemberian daripada Allah. Mengapa pula orang Islam menolaknya? Atau mendustakannya. 

Allah telah membuat anjing sebagai satu persamaan. Lebih tepat, anjing yang menjulurkan lidah. Ia menjulurkan lidah apabila berasa panas. Sama seperti hidungnya yang basah (suatu petanda baik baginya) apabila ditiup angin akan menyejukkan badannya. Anjing tidak berpeluh. Apapun, persamaannya adalah dengan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, berbunyi,
"Dan sekiranya Kami menghendaki, tentu Kami menaikkan dia dengannya, tetapi dia cenderung kepada bumi, dan mengikuti keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika kamu menghalaunya, ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan lidahnya juga. Itulah persamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah ceritanya supaya mereka memikirkan." (7:176)
Orang itu ingin dinaikkan (darjatnya) dengan ayat-ayat Allah tetapi dia, sebaliknya pula, cenderung kepada dunia dan mengikuti kehendaknya. Dia enggan mengikuti kehendak Allah. Lalu mendustakannya. Dia adalah sama dengan anjing yang menjulurkan lidah yang tidak akan beranjak dari tempat ia berada.

Wanita dalam Islam sebenar

Perzinaan tidak berlaku sekiranya kesopanan dijagai, dan Allah ditakuti. Kesopanan bagi lelaki dan perempuan semasa mereka berinteraksi sebagai sahabat telah disebut, iaitu mereka diperintah supaya mengawal pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Akan tetapi, bagi kaum wanita (kerana kewanitaannya) ditambah lagi dan tambahannya adalah seperti yang tersurat di dalam sebuah ayat yang panjang berbunyi,

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya;
Dan hendaklah mereka meletakkan penudung (mantel) mereka pada dada mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau perempuan mereka, atau apa yang tangan kanan mereka memiliki (hamba daripada rampasan perang),
Atau lelaki yang melayan mereka yang tanpa mempunyai keinginan seks, atau kanak-kanak kecil yang belum mengerti aurat (bahagian-bahagian sulit) perempuan" (24:31).

Ayat ini menggesa kaum wanita supaya tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang-orang yang rapat seperti yang telah disebut. Kata perhiasan selalu dituju kepada barang-barang kemas. Akan tetapi perhiasan perempuan di sini bermaksud bahagian anggotanya yang di dada, yang digesa supaya ditutup dengan penudung. Penudung, atau kata Arabnya di situ, khumur, adalah bukan tudung kepala perempuan. Dalam bahasa Inggeris ia adalah veil yang juga tidak bermaksud tudung kepala perempuan. Lazimnya tudung kepala perempuan dikaitkan dengan jilbab (33:59), juga diterjemah kepada 'penudung', yang bermaksud "pakaian luar; gaun panjang yang menutupi seluruh badan, atau mantel yang menutupi leher dan payudara" [The Holy Qur'an, Abdullah Yusuf Ali (1946), halaman 1126, nota kaki 3765]. Ia bukan tudung kepala.
Maka, pakaian wanita haruslah labuh dan menutup bahagian dada mereka. Atau dada ditutup dengan sehelai kain lain yang dipanggil khumur.
(Tudung kepada yang kini dipakai oleh kaum wanita adalah 'mandil' dalam bahasa Arab. Ia bermaksud kerchief; handkerchief; head kerchief, dalam bahasa Inggeris. Tetapi ia tidak terdapat di dalam al-Qur'an.)


Tudung Kepala

Apa yang dikatakan perhiasan itu tidak termasuk bahagian-bahagian anggota di kepala seperti rambut, mata, mulut, hidung, telinga, dan pipi wanita. Andaikata bahagian-bahagian anggota wanita ini wajib ditutup, dengan tudung kepala supaya tidak dilihat oleh lelaki (seperti yang diwajibkan dalam ajaran agama ulama palsu), maka kaum lelaki pun patut menutup bahagian-bahagian tersebut kerana kaum wanita juga boleh berkeinginan pada lelaki dengan hanya melihat bahagian-bahagian tersebut. 

Kemungkinan ini dibayangkan Allah di dalam al-Qur'an dengan sebuah cerita mengenai Nabi Yusuf yang digoda oleh wanita-wanita, termasuk isteri pembesar, kerana dia kelihatan begitu menawan (iaitu daripada bahagian-bahagian anggotanya yang dapat dilihat).

Perhiasan wanita boleh bermaksud payudaranya. Payudara perempuan yang lanjut usia pun tidak seharusnya dinampakkan seperti perempuan lain.

Firman-Nya, "Bagi perempuan-perempuan yang melewati umur mengandung, dan tiada harapan untuk berkahwin, tidak ada kesalahan ke atas mereka untuk menanggalkan pakaian mereka, tanpa menunjuk-nunjukkan perhiasan; tetapi jika mereka menahan, adalah lebih baik bagi mereka" (24:60).

Malah, dalam sebuah ayat yang terdahulu di dalam al-Quran, mengenai pakaian manusia, Allah menyatakan bahawa Dia telah menurunkan "pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib" (7:26). Tentu sekali maksud kata bahagian aib itu tidak termasuk bahagian-bahagian di kepala wanita, mahupun lelaki.

Dengan adanya beberapa petunjuk daripada al-Qur’an, maka Islam yang sebenar tidak mewajibkan wanita bertudung kepala.

Kata aurat yang turut disebut di dalam ayat yang panjang tadi (24:31) bermaksud bahagian-bahagian sulit, yang orang-orang berkeinginan seks meminati, tetapi tidak dimengertikan oleh kanak-kanak kecil. Kata ini memang sudah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu dalam Islam.

Lesbian

Selain zina, seseorang wanita itu boleh melakukan kesumbangan akibat nafsu berahinya pada yang sejantina dengannya. Bagi kesalahan ini, pesalah dikurung, yang ada kalanya sampai mati. 

Firman-Nya, "Dan perempuan-perempuan kamu yang melakukan kesumbangan, panggillah empat di antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka menyaksikan, tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian mematikan mereka, atau Allah mengadakan bagi mereka satu jalan" (4:15).

Hukuman bagi lesbian adalah tidak sama dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas penzina.


Sama

Beralih kepada soal sama ada lelaki dan perempuan itu sama. Sebenarnya, mereka adalah sama di sisi Allah. Kesamaan mereka adalah pada:

1.  usaha untuk mencari pemberian daripada Allah. Firman-Nya, "Bagi orang lelaki, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan, dan bagi orang perempuan, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan. Dan mintalah kepada Allah pemberian-Nya" (4:32).

2.  keimanan dan ganjaran daripada Allah. Firman-Nya, "Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim, dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh, dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang merendah hati dan perempuan yang merendah hati, dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga, dan lelaki yang mengingat Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingat - bagi mereka, Allah menyediakan keampunan dan upah yang besar" (33:35).

Pendek kata, seperti kata Allah juga, "Sesiapa membuat kerja-kerja kebaikan, lelaki atau perempuan, dan dia seorang mukmin, mereka akan masuk Taman (syurga), dan tidak dizalimi satu bintit pun" (4:124). Kata mukmin bererti believer dalam bahasa Inggeris.

3.  jodoh masing-masing, iaitu yang jahat bagi yang jahat dan yang baik bagi yang baik. Firman-Nya, "Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik" (24:26), dan,

4.  hukum, seperti hukum zina yang berbunyi, "Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan" (24:2), dan hukum bagi pencuri, berbunyi "Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan" (5:38).


Hak

Begitulah juga dengan hak. Kaum wanita mempunyai hak yang sama dengan kaum lelaki. Hak yang sama ini diberikan Allah kepada mereka dengan firman-Nya yang berbunyi, "Bagi perempuan ada hak yang baik seperti yang ke atas lelaki" (2:228).


Perbezaan

Namun begitu, mungkin kerana perbezaan pada kromosom antara lelaki dan perempuan membuatkan ada sedikit perbezaan, dan perbezaannya adalah dalam tanggungjawab. Ayat-ayat al-Qur’an yang menjelaskannya adalah seperti di bawah:

1. "Tetapi para lelaki mereka adalah satu darjat di atas mereka” (2:228). Darjat di sini, menurut konteksnya, adalah hak suami untuk mengambil balik isteri yang diceraikan apabila mereka ingin membetulkan antara mereka.

2. "Lelaki-lelaki adalah pengurus-pengurus urusan perempuan, dengan sebab Allah melebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka menafkahkan (membelanjakan) daripada harta mereka" (4:34).
 Kaum lelaki dipertanggungjawabkan sebagai pengurus urusan perempuan kerana kaum lelakilah yang membelanjakan. Kaum lelaki menyara hidup kaum perempuan, dan bukan sebaliknya.

Pada sebuah ayat yang lain pula, Allah menyatakan, "Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka dengan baik" (2:233). Ayat ini bersangkut hal perceraian; sehingga dalam keadaan begini pun bapa dipertanggungjawabkan menyara anak-anaknya.

3.  "Atau jika kedua-duanya bukan lelaki (saksi-saksi dalam perjanjian perdagangan yang tidak bertulis), maka seorang lelaki dan dua orang perempuan, saksi-saksi yang kamu berpuas hati, bahawa jika salah seorang daripada keduanya sesat, yang lagi seorang akan mengingatkannya" (2:282). Walaupun dua tetapi hanya seorang yang memberi kesaksian. Yang seorang lagi mengingatkannya jika dia sesat, seperti berkahwin dengan saksi lelaki, atau kerana hormon yang mudah mempengaruhi emosi. Kesaksian terdedah kepada tekanan pihak lelaki, dan dengan Allah menetapakan dua perempuan, Dia memberi perlindunagn kepada mereka daripada manipulasi kaum lelaki. Inilah satu-satunya kesaksian yang memerlukan dua perempuan (perjanjian perdagangan tanpa tulis). Dalam yang lain tidak, seperti "Dan orang-orang yang membalingkan kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar." (24:6)

4.   "Allah mewasiatkan kamu mengenai anak-anak kamu; bagi lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan ..." (4:11). Ini adalah bunyi permulaan ayat yang menetapkan bahagian-bahagian yang diterima oleh kaum lelaki dan perempuan dalam pembahagian harta pesaka. Akan tetapi, ia tidak semestinya dibahagi begitu. 

Demikian beberapa ketidaksamaan antara lelaki dan perempuan yang tersurat di dalam al-Qur’an.


Dipuja

Seperti pada ciptaannya, yang disifatkan Allah sebagai satu daripada ayat-ayat-Nya, atau satu daripada kebesaran-Nya (30:21), kaum wanita memang istimewa. Mereka dipuja, dan ada pula yang dijadikan sebagai:

1.  tuhan, atau dewi, atau goddess, dengan dipuja, diseru, dan dijadikan tempat untuk memohon. Firman-Nya, "Tiadalah yang mereka seru selain daripada Dia melainkan perempuan" (4:117). Mungkin ayat ini ditujukan juga kepada sesetengah manusia (lelaki terutamanya) yang mengutamakan perempuan lebih daripada keutamaan kehendak Allah ke atasnya. Lelaki seperti ini bertuhankan perempuan.

2.  satu tanda kesenangan hidup di dunia. Firman-Nya, "Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itulah kesenangan kehidupan dunia" (3:14).

Begitu kuat sekali pengaruh perempuan ke atas lelaki sehingga Nabi sendiri telah dapat ditewaskan apabila baginda melalaikan hukum Allah dan mengutamakan kehendak isteri-isterinya. Kisah ini diriwayatkan Allah di dalam al-Qur'an berbunyi, "Wahai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkan bagi kamu, untuk mencari kepuasan hati isteri-isteri kamu?" (66:1). Tentulah Nabi sangat sayang pada isteri-isterinya.


Perkahwinan

Perasaan cinta dan pengasihan antara lelaki dan perempuan, yang dikurniakan Allah, berjaya memujuk kebanyakan mereka untuk hidup bersama, dan bersatu, dalam ikatan perkahwinan. Perkahwinan yang disuruh Allah telah menjadi sunnah semua Rasul (13:38), termasuk Nabi Isa.
Lalu kaum wanita menjadi isteri-isteri. Isteri dicari dengan menggunakan harta. Mereka dicari bukan untuk perzinaan, tetapi untuk diikat dalam ikatan perkahwinan. Firman-Nya, "Dihalalkan bagi kamu .... adalah bahawa kamu mencari, dengan menggunakan harta kamu, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam perzinaan ..." (4:24).

Manakala bagi lelaki yang tidak berharta tetapi ingin mengahwini perempuan mukmin yang merdeka, mereka akan mengahwini hamba yang mukmin, atau mereka bersabar. Firman-Nya, "Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemewahan untuk membolehkan mengahwini wanita-wanita merdeka yang mukmin, maka dia mengambil pemudi kamu yang mukmin yang tangan kanan kamu memiliki .... dan lebih baik bagi kamu jika kamu bersabar" (4:25).

Isteri menjadi teman hidup dan tempat berehat bagi suami. Firman-Nya, "Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah bahawa Dia menciptakan untuk kamu, daripada diri-diri kamu sendiri, teman-teman hidup (isteri), supaya kamu berehat pada mereka" (30:21).

Keselesaan, kemesraan, dan kepuasan yang dinikmati bersama antara suami dan isteri dirakamkan lagi di dalam al-Qur’an dengan sebuah ayat yang berbunyi, "Mereka (isteri) adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka" (2:187).

Selain daripada dapat menjauhkan kaum wanita dari kancah perzinaan, perkahwinan juga melepaskan mereka daripada dijadikan teman rahsia (secret lover). Kata “teman rahsia” terbit dua kali di dalam al-Qur'an, iaitu pada ayat 4:25 dan 5:5. Allah melarang menyimpan teman rahsia.


Halal

Orang-orang yang halal dikahwini telah disenaraikan Allah di dalam al-Qur’an. Senarai itu kini disusun seperti di bawah ini:
1.  bujang. Firman-Nya, "Kahwinlah orang-orang yang tanpa teman hidup di kalangan kamu" (24:32),
2.  janda. Firman-Nya, "Tidak ada kesalahan ke atas kamu mengenai lamaran kepada perempuan-perempuan (janda) yang kamu menawari" (2:235),
3.  ahli Kitab. Firman-Nya, ".. dan menikahi wanita-wanita daripada mereka yang diberi al-Kitab sebelum kamu" (5:5),
4.  hamba yang mukmin. Firman-Nya, "maka dia mengambil (sebagai isteri) pemudi kamu yang mukmin yang tangan kanan kamu memiliki" (4:25),
5.  anak yatim, dan kanak-kanak yang ditindas. Firman-Nya, "... mengenai anak-anak yatim perempuan, yang kepadanya kamu tidak memberikan apa yang ditetapkan untuk mereka, tetapi kamu ingin mengahwini mereka, dan kanak-kanak yang ditindaskan" (4:127),
6.  anak tiri daripada isteri yang belum dimasuki. Firman-Nya, "... dan (diharamkan berkahwin) anak-anak perempuan yang dalam penjagaan kamu daripada isteri-isteri kamu yang kamu telah memasuki - tetapi jika kamu belum memasuki mereka, maka tidaklah bersalah ke atas kamu" (4:23),
7.  bekas isteri anak angkat. Firman-Nya, "tidak ada kesalahan ke atas orang-orang mukmin dalam hal isteri-isteri anak-anak angkat mereka" (33:37),
8.  wanita mukmin yang lari daripada suami yang kafir. Firman-Nya, "... dan tiada kesalahan ke atas kamu untuk mengahwini mereka (yang lari daripada suami yang kafir)" (60:10), dan
9.  sepupu, seperti yang disebut di dalam sebuah ayat yang khusus bagi Nabi berbunyi, "Wahai Nabi, Kami telah menghalalkan untuk kamu isteri- isteri kamu yang kamu telah memberikan upah mereka, dan apa yang tangan kanan kamu memiliki, daripada rampasan perang yang Allah memberikan kamu, dan anak-anak perempuan bapa-bapa saudara kamu sebelah bapa kamu dan emak-emak saudara sebelah bapa, bapa-bapa saudara kamu sebelah ibu dan emak-emak saudara sebelah ibu, yang berhijrah bersama kamu, dan mana-mana perempuan yang mukmin, jika dia menyerahkan dirinya kepada Nabi dan jika Nabi menghendaki untuk mengahwininya, yang untuk kamu khasnya, bukan untuk orang-orang mukmin yang lain" (33:50). Kelebihan Nabi dalam memilih isteri ialah dia dibenarkan berkahwin dengan perempuan yang menyerahkan dirinya kepada dia.


Haram

Begitu juga Allah telah menyenaraikan beberapa golongan yang haram dikahwini. Mereka terdiri daripada:
1.  yang enggan. Firman-Nya, "tidak halal bagi kamu untuk mewarisi perempuan-perempuan dengan paksa" (4:19),
2.  bekas isteri bapa. Firman-Nya, "Dan janganlah mengahwini perempuan-perempuan yang bapa-bapa kamu telah mengahwini" (4:22),
3.  ibu bapa, anak-anak sendiri, adik-beradik, ibu atau bapa saudara dan anak-anak saudara. Firman-Nya, "Diharamkan kepada kamu adalah ibu-ibu kamu, dan anak-anak perempuan kamu, dan saudara-saudara perempuan kamu, dan ibu-ibu saudara kamu sebelah bapa dan sebelah ibu kamu, dan anak-anak perempuan saudara lelaki kamu dan saudara perempuan kamu" (4:23),
4.  perempuan yang menyusukan, dan yang sesusuan. Firman-Nya, "dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu, dan saudara-saudara perempuan kamu yang sesusuan" (4:23), 
5.  mertua, dan anak-anak tiri yang ibunya sudah dimasuki. Firman-Nya, "dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak perempuan yang dalam penjagaan kamu daripada isteri-isteri kamu yang kamu telah memasuki" (4:23),
6.  menantu. Firman-Nya, "dan isteri anak-anak kamu yang daripada pinggang kamu" (4:23),
7.  dua adik-beradik. Firman-Nya. "dan kamu himpun dua perempuan adik-beradik” (4:23),
8.  isteri orang. Firman-Nya, "Dan perempuan-perempuan yang bersuami, kecuali apa yang tangan-tangan kanan kamu memiliki" (4:24),
9.  penzina. Firman-Nya, "Lelaki yang berzina tidak mengahwini kecuali perempuan yang berzina, atau perempuan yang menyekutukan; dan perempuan yang berzina, tiada yang mengahwininya kecuali lelaki yang berzina, atau lelaki yang menyekutukan; itu diharamkan kepada orang-orang mukmin" (24:3),
10.  yang jahat bagi yang baik. Firman-Nya, "Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik" (24:26),
11.  yang ditalak (dicerai) sebanyak dua kali. Firman-Nya, "Jika dia menceraikannya (buat kali kedua), dia (isteri) tidak halal baginya sesudah itu sehingga dia berkahwin suami yang lain" (2:230),
12.  yang menyekutukan Allah (yang mengadakan selain daripada Allah untuk menetapkan dalam gama). Firman-Nya, "Janganlah mengahwini perempuan-perempuan yang menyekutukan sehingga mereka mempercayai; hamba perempuan yang mukmin adalah lebih baik daripada perempuan yang menyekutukan, walaupun dia menarik hati kamu. Dan janganlah mengahwini orang-orang lelaki yang menyekutukan sehingga mereka mempercayai. Hamba yang mukmin adalah lebih baik daripada orang yang menyekutukan, walaupun dia menarik hati kamu" (2:221), dan akhirnya,
13.  yang tidak percaya (kafir) kepada Allah dan Kitab-Nya. Firman-Nya, "Mereka (yang mukmin) adalah tidak halal bagi orang-orang yang tidak percaya, dan tidak juga orang-orang yang tidak percaya halal bagi mereka" (60:10).


Izin

Terdahulu sekali dalam perkahwinan ialah persetujuan daripada pihak diri perempuan itu sendiri. Allah jelas apabila menetapkan ini dengan firman-Nya yang berbunyi, "tidak halal bagi kamu untuk mewarisi perempuan-perempuan dengan paksa" (4:19).
Perkahwinan juga dilangsungkan dengan izin keluarga perempuan. Ini diisyaratkan Allah apabila Dia menentukan iaitu, bagi perempuan yang berstatus hamba pun, sekiranya hendak dikahwini, adalah dengan izin keluarganya. Firman-Nya, "Maka kahwinilah mereka (yang tangan kanan kamu memiliki) dengan izin keluarga mereka" (4:25).


Akad

Izin daripada keluarga perempuan dilafaz seperti pada akad nikah. Sebagai contoh akad daripada al-Qur'an ialah lafaz bapa mertua Nabi Musa tatkala dia menyerahkan anaknya kepadanya (Musa) untuk dikahwinkan, berbunyi "Aku menghendaki untuk mengahwinkan kamu dengan seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan kamu mengambil upah daripada aku selama lapan tahun" (28:27). Turut disebut di dalam lafaznya ialah mas kahwin, yang berupa perkhidmatan Nabi Musa kepadanya dalam tempoh masa yang ditentukan. Mas kahwin yang begini rupa adalah kerana Nabi Musa pada ketika itu seorang fakir.


Hadiah

Perempuan yang dikahwini diberi hadiah, atau mas kahwin, atau upah (menurut kata al-Qur’an), atau seperti kata yang selalu disebut orang Melayu, iaitu hantaran. Hantaran adalah suatu ketentuan menurut hukum Allah (4:24), dan diberi kepada semua perempuan yang dikahwini, termasuk kaum hamba (4:25).
Mas kahwin adalah sesuatu hadiah yang rela. Firman-Nya, "Dan berilah perempuan-perempuan mas kahwin mereka sebagai satu hadiah yang rela, tetapi jika mereka, dengan suka hati, menawarkan kepada kamu sesuatu daripadanya, maka makanlah ia dengan selera yang sihat" (4:4).


Muafakat

Keharmonian hidup sepasang suami-isteri adalah dengan adanya muafakat. Mereka berpakat dengan baik, seperti dalam urusan keluarga. Allah menunjukkan suatu muafakat dalam rumah tangga antara suami dan isteri dengan ayat berbunyi, "Para ibu akan menyusukan anak-anak mereka dua tahun genap, bagi orang yang menghendaki untuk menyempurnakan penyusuan. Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka dengan baik .... Tetapi jika keduanya menghendaki, dengan persetujuan bersama dan perundingan, untuk menyusukan, maka tidaklah ada kesalahan ke atas mereka. Dan jika kamu berkehendak untuk mencari penyusu bagi anak-anak kamu, tidaklah bersalah ke atas kamu asal sahaja kamu menyerahkan apa yang kamu beri dengan baik; dan takutilah Allah, dan ketahuilah bahawa Allah melihat apa yang kamu buat" (2:233).
Suatu yang menarik mengenai ayat tersebut ialah ia berkontekskan penceraian. Sehingga dalam krisis begini pun Allah menyuruh supaya berunding dengan baik antara (bekas) suami dan isteri!
Atau, dalam keadaan marah dan benci, yang boleh mengakibatkan perceraian, juga disuruh-Nya bergaul dengan baik. Mungkin apa yang dibenci itu adalah suatu yang baik. Firman-Nya, "Bergaullah dengan mereka dengan baik; atau jika kamu membenci mereka, mungkin kamu membenci sesuatu padahal Allah membuatkan padanya banyak kebaikan" (4:19).


Bercampur

Kenikmatan hidup sepasang suami-isteri memuncak apabila mereka bercampur dengan baik. Masing-masing adalah pakaian bagi satu sama lain. Pakaian ini juga dipakai pada malam bulan Ramadan. Firman-Nya, "Dihalalkan bagi kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka" (2:187).
Digambarkan lagi kenikmatan ini dengan firman-Nya yang berbunyi, "Perempuan-perempuan kamu adalah tanaman bagi kamu; maka datangilah tanaman kamu seperti yang kamu mengkehendaki" (2:223).
Namun, percampuran ini ada hadnya. Malah, ia diharamkan pada beberapa keadaan yang tertentu. Keadaan-keadaan itu adalah:
1.  apabila bertekun di masjid, seperti pada malam bulan Ramadan. Firman-Nya, "dan janganlah mencampuri mereka sedang kamu bertekun (iktikaf) di masjid" (2:187),
2.  dalam Haji. Firman-Nya, "sesiapa yang menetapkan untuk Haji padanya, tidak boleh bercampur dengan isterinya" (2:197),
3.  semasa dalam haid. Firman-Nya, "maka hendaklah kamu menjauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan janganlah mendekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka telah membersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah memerintahkan kamu" (2:222). Tidak terdapat larangan lain bagi perempuan yang dalam haid di dalam al-Qur'an; tidak disebut-Nya mengenai larangan mendirikan solat, berpuasa, atau menyentuh dan membaca al-Qur’an.
4.  memantangkan diri selama empat bulan. Selepas tempoh ini percampuran diharamkan, dan mereka dianggap seperti bercerai. Firman-Nya, "Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka menunggu empat bulan. Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. Tetapi jika mereka memutuskan untuk bercerai, maka sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui." (2:226-227), dan akhirnya,
5.  menzihar isteri (berkata kepada isteri, "Kamu, padaku, adalah seperti punggung ibuku"), dan tidak pula mengadakan tebusan apabila ditarik balik apa yang telah dikatakan. Percampuran diharamkan dalam situasi seperti ini. Firman-Nya, "Dan orang-orang yang menzihar isteri-isteri mereka, kemudian mereka menarik kembali apa yang mereka telah mengatakan, mereka akan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya menyentuh satu sama lain ... Tetapi sesiapa yang tidak mendapatkannya, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya menyentuh satu sama lain. Dan jika sesiapa yang tidak boleh, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin" (58:3-4).
Menyentuh sedikit mengenai suatu yang berkaitan, yang agak sensitif, iaitu alat kelamin. Alat ini, baik bagi perempuan mahupun lelaki, tidak disuruh Allah agar ia dicacatkan, atau dikhatan. Justeru pendapat manusia berbeza mengenainya. Ramai tampil ke hadapan dengan hujah masing-masing. Ada golongan yang bersetuju, dan ramai pula yang menolak. Sungguh menarik perdebatan mengenainya. Para doktor turut memberi sumbangan dalam bentuk hasil kajian. Begitulah banyaknya artikel yang tersimpan di internet (lihat circumcision) mengenai khatan. Kebanyakan penyumbang didapati tidak bersetuju dengan khatan, terutamanya bagi perempuan, dan mereka menggunakan istilah mutilation (mencacatkan) bagi amalan ini. Lagipun, sekiranya hendak direnungkan ayat-ayat al-Qur’an mengenai ciptaan-Nya, maka terserlahlah dua buah ayat di mana, yang pertama, Allah telah menyatakan yang Dia “mencipta segala sesuatu dengan baik” (32:7), dan satu lagi iaitu apabila syaitan berjanji untuk menyesatkan manusia berbunyi "aku akan menyuruh mereka dan mereka akan mengubahi ciptaan Allah" (4:119).

Poligami
Poligami adalah halal. Amalan ini bertujuan untuk berlaku adil terhadap anak-anak yatim. Firman-Nya, "Jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah perempuan-perempuan yang nampak baik bagi kamu, dua, dan tiga, dan empat" (4:3). Maksud kata “perempuan-perempuan” di sini ialah anak-anak yatim yang perempuan.
Ayat tersebut seterusnya memberi nasihat, atau amaran, berbunyi "tetapi jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil, maka satu sahaja ... ia lebih dekat bagi kamu untuk tidak membuat aniaya". Ketidakadilan dalam poligami mengakibatkan penganiayaan ke atas kaum wanita. Allah benci penganiayaan.
Namun, ketidakadilan terhadap isteri-isteri tetap berlaku dalam poligami. Firman-Nya, "Kamu tidak akan boleh berbuat adil di antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu ingin sekali" (4:129). Maka, jauhi amalan poligami!
Cara berbuat adil pada isteri-isteri pula ditunjukkan Allah di dalam ayat yang sama, berbunyi "maka janganlah kamu condong dengan seluruh kecondongan sehingga kamu meninggalkannya seperti tergantung" (4:129). “Gantung tak bertali” kerana suami condong pada madu. Itu sering berlaku. Ia dilarang Allah.


Pertelingkahan

Sedangkan lidah lagi tergigit, ini pulak suami isteri! Demikian kata dalam sebuah lagu Melayu evergreen. Pertelingkahan antara suami dan isteri dilalui dengan baik, iaitu dengan cara berunding dan bergaul dengan baik, seperti yang telah disebut di bawah tajuk Muafakat. al-Qur'an memberi dua lagi contoh pertelingkahan, dan cara-cara menyelesaikannya:
1.  menuduh melakukan zina. Bagi tuduhan ini Allah menunjukkan cara penyelesaiannya yang berbunyi, "Dan orang-orang yang membalingkan kepada (menuduh) isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar. Dan yang kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya, jika dia termasuk di antara pendusta-pendusta. Ia akan menghindarkannya (isteri) daripada azab, jika dia (isteri) menyaksikan dengan Allah empat kali bahawa dia (suami) adalah di antara pendusta-pendusta. Dan yang kelima, bahawa kemurkaan Allah adalah ke atasnya (isteri) jika dia (suami) termasuk orang-orang yang benar" (24:6-9).
2.  kederhakaan suami atau isteri. Bagi kederhakaan suami (yang hampir tidak disebut orang mengenai kewujudannya), Allah menjelaskan dengan ayat yang berbunyi, "Jika seorang perempuan takut akan kederhakaan, atau palingan daripada suaminya, tidaklah bersalah ke atas keduanya jika mereka membetulkan di antara mereka; dan penyelesaian adalah lebih baik; dan jiwa condong kepada kehalobaan" (4:128).
Bagi isteri yang derhaka pula, tindakan yang diambil oleh suami adalah seperti pada ayat yang berbunyi, "dan mereka yang kamu takut akan menjadi derhaka, tegurkanlah mereka, dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Jika mereka kemudiannya mentaati kamu, maka janganlah mencari-cari sebarang jalan terhadap mereka" (4:34).
Perhatian tertumpu pada kata pukul, iaitu memukul isteri yang derhaka yang disebut di dalam ayat ini. Beberapa persoalan telah timbul. Pelbagai tafsiran telah diketengahkan. Akan tetapi, terdapat satu penjelasan yang ingin diutarakan di sini mengenai kata asal wadribu (pukul) yang terakam di dalam ayat tersebut. Sebuah terjemahan, AL-QUR’AN a contemporary translation, oleh Ahmed Ali (1984), mencatat di nota kaki (halaman 78) berbunyi antara lain ialah wadribu , in the original, translated here ‘have intercourse’ … see Raghib, Lisan al-‘Arab and …. daraba metaphorically means to have intercourse, and quote the expression darab al-fahl an-naqah, ’the stud camel covered the she-camel,’ which is also quoted by Lisan al-‘Arab. It cannot be taken here to mean ‘to strike them (women).’"
Maka pukul di sini adalah seperti pada kata halus, bercampur, masuk, atau sentuh, bagi kata have intercourse. Lantas, isteri-isteri yang derhaka pun harus dicampuri, bukan disepak, atau ditendang, atau ditumbuk, atau dipukul dengan tuala, kain dan sebagainya.


Pendamai

Pertelingkahan suami-isteri didamaikan oleh wakil kedua-dua buah pihak sebelum berlaku perceraian. Firman-Nya, "Jika kamu takut akan perpecahan antara keduanya, bangkitkanlah seorang pendamai daripada keluarga lelaki, dan daripada keluarga perempuan, seorang pendamai. Jika mereka menghendaki untuk memperbetulkan, Allah akan menyelesaikan pertelingkahan mereka" (4:35). Dewasa ini, para peguamlah pendamai yang dianggap paling adil.
Sekiranya cara yang Allah tunjukkan diguna oleh pihak-pihak tertentu, maka wanita-wanita Islam yang dizalimi suami-suami mereka dapat dilepaskan daripada kezaliman itu dengan tanpa menunggu lama dalam penderitaan.


Nabi

Nabi juga telah mengalami krisis rumah tangga. Krisis itu, menurut al-Qur'an (66:3), berpunca dari salah seorang daripada isteri-isterinya yang membawa mulut, setelah Nabi memberitahunya sesuatu rahsia. Kemudian, dua daripada isteri-isterinya bergabung untuk menentangnya. Lantaran Allah turunkan amaran kepada mereka, dan sebahagian daripadanya berbunyi, "Mungkin, jika dia (Nabi) menceraikan kamu, Pemeliharanya (Tuhannya) akan menukarkan dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang muslim, yang mukmin, yang patuh, yang bertaubat, yang warak, yang berpergian, yang janda, dan yang dara" (66:5). Dalam krisis seperti ini jua diingatkan-Nya tentang perceraian. Diingatkan-Nya jua tentang adanya wanita-wanita lain yang lebih baik daripada isteri-isteri Nabi.


Penceraian

Istilah talak satu, seperti yang lazim digunakan, sebenarnya bermaksud sekali cerai, kerana kata talak dalam bahasa Arab bermakna penceraian. Maka, dua kali bercerai dengan pasangan yang sama adalah talak dua. Oleh itu, lafaz talak tiga pada penceraian yang pertama adalah hanya karut.
Apabila perceraian tidak dapat dielakkan lagi, maka Allah akan memberi pertolongan kepada kedua-dua pihak. Firman-Nya, "Tetapi jika keduanya bercerai, Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing daripada keluasan-Nya" (4:130). Allah memahami.
Allah amat memahami penderitaan yang dialami, lalu direstui-Nya perceraian. Kemudian, Dia didapati pula menolong kedua-dua belah pihak. Akan tetapi, bagaimana pula dengan banyaknya kes-kes cerai yang tidak diceraikan, atau digantung sekian lama? Tidakkah difahami penderitaan yang dilalui? Tidakkah kedua-dua belah pihak perlu ditolong? Tidak, sebaliknya ada pula orang yang melafazkan cerai didenda seribu ringgit!
Penceraian yang dibenarkan adalah sebanyak dua kali. Firman-Nya, "Penceraian (talak) adalah dua kali; kemudian menahan dengan baik, atau melepaskan dengan baik ... Jika dia menceraikannya, dia (isteri) tidak halal baginya sesudah itu sehingga dia berkahwin suami yang lain. Kemudian jika dia (suami baru) menceraikannya, maka tidaklah bersalah ke atas mereka untuk kembali kepada satu sama lain, jika mereka menyangka bahawa mereka akan melakukan had-had Allah" (2:229-230). Ini kes "cina buta".


Idah

Dalam penceraian ada tempoh, atau idah (masa menanti). Syarat-syarat dalam idah telah dihuraikan Allah dengan lima ayat yang berikut:
1.  "Perempuan-perempuan yang diceraikan akan menunggu sendiri selama tiga haid, dan tidaklah halal bagi mereka untuk menyembunyikan apa yang Allah menciptakan di dalam rahim mereka jika mereka mempercayai Allah dan Hari Akhir. Pada masa itu suami-suami mereka adalah lebih berhak untuk mengembalikan mereka jika mereka menghendaki untuk memperbetulkan" (2:228),
2. "Apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, dan mereka sampai tempoh mereka, maka tahanlah mereka dengan baik, atau lepaskanlah mereka dengan baik; janganlah menahan mereka dengan paksa untuk mencabuli; sesiapa yang berbuat demikian itu menzalimi dirinya sendiri. Janganlah mengambil ayat-ayat Allah dalam olok-olokan" (2:231),
3. "Apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, lalu mereka sampai tempoh mereka, janganlah menghalangi mereka daripada mengahwini suami-suami mereka, apabila mereka telah saling mempersetujui di antara mereka, dengan baik. Dengan ini ditegurkan sesiapa di antara kamu yang mempercayai Allah, dan Hari Akhir. Itu lebih suci dan lebih bersih bagi kamu; Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui" (2:232),
4. "Tempatkanlah mereka di mana kamu bertempat tinggal, menurut kemampuan kamu, dan janganlah menekan mereka untuk menyempitkan keadaan mereka. Jika mereka mempunyai kandungan, nafkahkanlah mereka sehingga mereka melahirkan kandungan mereka. Jika mereka menyusukan untuk kamu, berilah mereka upah mereka, dan bermuafakatlah di antara kamu dengan baik. Jika kamu berdua menemui kesukaran, maka perempuan yang lain akan menyusukannya" (65:6).

Saksi

4. "Kemudian, apabila mereka telah sampai tempoh mereka, tahanlah mereka dengan baik, atau berpisahlah daripada mereka dengan baik. Dan adakanlah saksi, dua orang yang mempunyai keadilan di kalangan kamu; dan lakukanlah kesaksian kepada Allah Sendiri. Dengan ini ditegurkan sesiapa yang mempercayai Allah dan Hari Akhir. Dan sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia membuatkan untuknya satu jalan keluar" (65:2).
Nabi sendiri mungkin telah menceraikan isteri-isterinya, dan beliau juga disuruh Allah agar menjagai tempoh dan syarat-syaratnya. Firman-Nya, "Wahai Nabi, apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, maka ceraikanlah mereka apabila mereka sampai tempoh mereka. Hitunglah tempoh itu, dan takutilah Allah, Pemelihara kamu. Janganlah mengeluarkan mereka dari rumah-rumah mereka, dan jangan juga membiarkan mereka keluar, kecuali mereka melakukan kesumbangan yang nyata. Itulah hudud (had-had) Allah; sesiapa mencabuli hudud Allah, dia menzalimi dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui mungkin setelah itu Allah mengadakan perkara yang baru" (65:1).
Namun, tempoh bagi perempuan yang putus haid, dan perempuan yang mengandung, adalah berbeza daripada perempuan lain. Firman-Nya, "Bagi perempuan-perempuan kamu yang berputus asa daripada haid selanjutnya, jika kamu ragu-ragu, maka tempoh mereka ialah tiga bulan, dan mereka yang tidak datang haid hingga kini. Dan mereka yang hamil, tempoh mereka ialah apabila mereka melahirkan kandungan mereka. Sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia akan membuatkan untuknya, daripada perintah-Nya, yang mudah" (65:4).
Sementara idah bagi wanita-wanita yang kematian suami ditetapkan Allah lebih lama daripada yang dikenakan ke atas wanita-wanita yang diceraikan. Firman-Nya, "Dan orang-orang di antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, mereka akan menunggu sendiri selama empat bulan dan sepuluh hari" (2:234).


Peruntukan

Wanita-wanita yang diceraikan diberi peruntukan, dan harta yang telah diberi kepada mereka tidak diambil balik. Ayat-ayat Allah yang berikut menjelaskannya:
1.  "Tidak halal bagi kamu untuk mengambil daripada apa yang kamu telah memberikan mereka (isteri) kecuali keduanya takut bahawa mereka tidak dapat melakukan had-had Allah. Jika kamu takut mereka tidak dapat melakukan had-had Allah, maka tidaklah bersalah ke atas mereka untuk dia (isteri) menebus dengannya. Itulah had-had Allah; janganlah mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim" (2:229).
Terdapat satu lagi ayat mengenai larangan mengambil balik harta yang telah diberi kepada isteri yang diceraikan, dan ayat itu berakhir dengan satu pertanyaan berbunyi, "Apa, adakah kamu mengambilnya dengan cara umpat, dan dosa yang nyata?" (4:20).
2.  "Bagi wanita-wanita yang diceraikan, diberi peruntukan dengan baik sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa" (2:241).


Luar biasa

Al-Qur'an ada juga menyebut mengenai beberapa cara bercerai yang saya anggap luar biasa. Sememangnya ia, seperti kata-Nya, adalah sebuah kitab yang cukup jelas, atau terperinci, apabila ia turut menyebut tentang segala kemungkinan, seperti apa yang mungkin berlaku, bagi sesuatu perkara. Bagi penceraian, disebut-Nya empat, iaitu:
1.  Memantangkan diri daripada menyentuh pasangan:
Ini mungkin berlaku dalam keadaan marah dan benci pada pasangan. Sekiranya sumpah itu berpanjangan, iaitu lebih daripada empat bulan, maka pasangan suami-isteri itu adalah seperti dalam keadaan bercerai. Firman-Nya, "Bagi orang-orang yang bersumpah memantangkan diri daripada perempuan-perempuan mereka, mereka menunggu empat bulan. Jika mereka kembali, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. Tetapi jika mereka memutuskan untuk bercerai, maka sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui" (2:226-227). Pasangan bercerai setelah berpantang empat bulan.
2.  Belum sentuh:
Bagi yang mungkin bercerai tanpa menyentuh pasangannya, Allah menurunkan tiga ayat yang menggariskan syarat-syaratnya.
  i.  "Tidak ada kesalahan ke atas kamu jika kamu menceraikan perempuan-perempuan sedang kamu belum menyentuh mereka, dan tidak juga menetapkan sebarang bahagian untuk mereka; namun demikian, buatlah peruntukan untuk mereka - orang yang mewah menurut kemampuannya, dan orang yang miskin menurut kemampuannya - satu peruntukan dengan baik; satu kewajipan bagi orang-orang yang berbuat baik" (2:236), 
ii.  "Dan jika kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, dan kamu telah pun menetapkan bagi mereka bahagian yang ditentukan, maka berilah setengah daripada apa yang kamu telah menetapkan, kecuali jika mereka memaafkan, atau dia memaafkan yang di tangannya ikatan perkahwinan; bahawa kamu memaafkan adalah lebih dekat dengan takwa. Janganlah melupakan pemberian sesama kamu. Sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu buat" (2:237), dan akhirnya,
iii.  "... apabila kamu mengahwini perempuan-perempuan yang mukmin, dan kemudian menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, tiadalah tempoh (idah) bagi kamu untuk mengira terhadap mereka; maka buatlah peruntukan bagi mereka, dan lepaskanlah mereka dengan pelepasan yang manis" (33:49).
3.  Zihar:
Seperti yang telah dimaklumkan, di bawah tajuk Bercampur, menzihar isteri bermaksud menyifatkan isteri sebagai punggung ibunya (suami) sendiri. Pada hemat saya, bahagian anggota yang disebut itu adalah suatu petunjuk bagi bahagian-bahagian sulit ibu yang lain, yang juga tidak boleh disamakan dengan isteri, atau suami. Kata-kata ini hendaklah ditarik balik.
Sekiranya kata-kata itu ditarik balik, maka Allah mengadakan tebusan sebelum pasangan itu menyentuh satu sama lain. Tebusannya ialah memerdekakan seorang hamba, atau sesiapa yang tidak mendapatkannya, maka dia berpuasa dua bulan berturut-turut, atau memberi makan enam puluh orang miskin (58:3-4).
Pasangan ini berada dalam keadaan bercerai sekiranya kata-kata itu tidak ditarik balik, atau tebusannya tidak dilakukan.
4.  Isteri lari:
Dengan cara automatik, apabila isteri lari kepada orang-orang yang tidak percaya (kafir kepada Allah dan Kitab-Nya), maka gugurlah "talak satu". Firman-Nya, "Dan jika seseorang daripada isteri-isteri kamu lari daripada kamu kepada orang-orang yang tidak percaya, dan kemudian kamu membalas, maka berilah orang-orang yang isteri-isteri mereka telah pergi, yang serupa dengan apa yang mereka telah menafkahkan. Dan takutilah Allah, yang kepada-Nya kamu mukmin (mempercayai)" (60:11). Dalam kes ini, tersebut mengenai bayaran balik kepada bekas suami atas apa yang dia telah menafkahkan (membelanjakan) kepada isterinya.


Kematian

Perpisahan yang paling menyedihkan, atau tahap stress yang tertinggi sekali, ialah apabila teman hidup meninggal dunia. Berpisahlah pasangan suami-isteri itu buat sementara waktu, menunggu Akhirat, di mana mereka akan bersatu semula selama-lamanya. Isteri yang kematian suaminya ditinggalkan peruntukan untuk setahun, dan peruntukan ini ditulis di dalam wasiat suami. Perintah Allah mengenai ini berbunyi, "Dan orang-orang di antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka membuat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya; tetapi jika mereka keluar, maka tidaklah bersalah ke atas kamu mengenai apa yang mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik" (2:240).


Baik

Sememangnyalah, orang-orang yang takut kepada Allah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi orang-orang salih, atau orang-orang yang baik. Mengenai wanita-wanita yang disifatkan baik, Allah telah menjelaskannya dengan ayat berbunyi, "Wanita-wanita yang salih (baik) ialah yang patuh, yang menjaga yang rahsia kerana Allah menjaganya" (4:34).
Allah seterusnya menyebut di dalam al-Qur'an mengenai sifat-sifat wanita yang baik, yang antaranya, adalah yang muslim, mukmin, benar, sabar, merendah hati, bersedekah, berpuasa, mengingat Allah dengan banyak, menyuruh yang baik, melarang yang mungkar, melakukan solat, memberi zakat, atau yang membuat kerja-kerja kebaikan. Wanita-wanita ini tentu menemui kebahagian.


Dituduh

Tersebut juga di dalam al-Qur’an mengenai wanita-wanita yang sudah berkahwin, lagi baik, atau yang mukmin, tetapi kerana kelalaian mereka, mereka dituduh yang bukan-bukan dan menjadi bahan tomahan orang lain. Orang-orang yang melakukan kejahatan terhadap wanita-wanita tersebut dilaknati di dunia dan di akhirat. Firman-Nya, "Sesungguhnya orang-orang yang membalingkannya (menuduh) kepada wanita-wanita yang berkahwin, yang lalai, tetapi mukmin, akan dilaknati di dunia dan di akhirat; dan bagi mereka, azab yang besar” (24:23).
Amaran daripada Allah yang seterusnya mengenai perbuatan memburuk-burukkan wanita yang baik berbunyi, “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, tanpa apa yang mereka mengusahakan, mereka memikul pengumpatan dan dosa yang nyata” (33:58). Begitulah kedudukan orang-orang yang baik di sisi Allah.


Akhirat

Kebahagian hidup bersama antara suami dan isteri di dunia ini akan disambung semula pada Hari Akhirat, di mana mereka akan bersatu sekali lagi, untuk duduk kekal dalam kebahagian. Inilah idaman yang sebenarnya bagi suami dan isteri, iaitu kebahagian bersama di dunia dan di akhirat. Allah menyebut mengenai kebahagian mereka di syurga di dalam beberapa ayat al-Qur'an, dan antaranya berbunyi, "Sesungguhnya orang-orang Jannah (syurga) pada hari ini sibuk dalam kegembiraan mereka. Mereka dan isteri-isteri mereka bersandar di atas sofa di tempat teduh. Bagi mereka di dalamnya buah-buahan, dan bagi mereka apa yang mereka minta. “Salam” ialah perkataan daripada Pemelihara (Tuhan) yang Pengasih" (36:55-58).
Sepertimana syurga itu kekal bagi orang-orang yang baik, begitulah juga dengan neraka bagi orang-orang yang jahat. Mereka yang dimasukkan ke dalam neraka tidak dikeluarkan darinya, walaupun mereka melafazkan persaksian terhadap Allah dan Rasul semasa mereka hidup di dunia untuk menunjukkan keislaman mereka. Lafaz sahaja tidak mencukupi. Syurga tidak semurah itu.


Doa

Kebahagian hanya datang daripada Allah, maka mohonlah kepada-Nya. Allah Yang Pemurah, dan Yang Pengasih, telah mengajar suami dan isteri sebuah doa untuk kebahagian mereka sekeluarga, dan untuk mereka mendahului dalam ketakwaan, berbunyi "Wahai Pemelihara kami, berilah kami kegembiraan daripada isteri-isteri (atau, suami) kami, dan keturunan kami, dan buatlah kami ketua bagi orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan)" (25:74). Mudah-mudahan dengannya, dan dengan usaha yang ikhlas lagi bersungguh-sungguh dalam mentakuti-Nya, para wanita, yang di dalam Islam sebenar, berbahagia hidup di dunia dan di akhirat.

Blogger Tricks

Powered by Blogger.