Saturday 1 October 2011

Orang yang baik-baik

Nabi dan rasul adalah dalam golongan manusia yang dipanggil solihin atau salih atau baik. Namun, ahli golongan tersebut tidak terhad kepada mereka sahaja, malah siapa sahaja termasuk golongan paling rendah di kalangan manusia, seperti bertaraf hamba, boleh menjadi ahli, asal saja dia, lelaki atau perempuan, beramal menurut panduan Kitab al-Qur'an. Kitab tersebut banyak menyebut mengenai orang yang salih, dan ayat pertamanya berbunyi,

"Maka siapakah yang mengundurkan diri daripada anutan Ibrahim kecuali dia yang memperbodohkan dirinya sendiri? Sesungguhnya Kami telah memilihnya di dunia ini, dan di akhirat, dia termasuk orang-orang yang salih (baik)." (2:130)

Nabi Ibrahim dikatakan seorang yang salih, beranutan dengan anutan menurut namanya. Justeru dapat difahamkan bahawa orang yang salih berfahaman dan beramal menurut anutan Nabi Ibrahim. Maka sifat orang salih yang pertama dapat diringkaskan seperti berikut:

  • -menuruti anutan Ibrahim

Anutan Ibrahim turut menjadi anutan Nabi Muhammad yang membawa Kitab al-Qur'an. Kerana Kitab itu jelas dan terperinci ia selanjutnya memberi penjelasan mengenai sifat-sifat atau amalan-amalan orang salih. Mereka telah dikumpul dan disenaraikan dengan ringkas, menurut urutan ayat-ayat, seperti di bawah:

  • -jujur, dan
    -suci daripada kejahatan nafsu berahi:

    "Dan malaikat-malaikat memanggilnya, sedang dia (Nabi Zakaria) berdiri untuk menyembah di mihrab, 'Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan Yahya yang mengesahkan satu Kata Allah, dan seorang ketua, dan jujur serta suci daripada kejahatan nafsu berahi, dan seorang Nabi, dan seorang yang salih.'" (3:39)
  • -membaca ayat-ayat Allah pada tengah malam,
    -bersujud,
    -mempercayai Allah dan Hari Akhir,
    -menyuruh yang baik dan melarang yang mungkar,
    dan
    -bersegera dalam kebajikan:

    "Tidaklah mereka semua sama; sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang membaca ayat-ayat Allah pada tengah malam, dan bersujud. Mereka mempercayai Allah dan Hari Akhir, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan mereka bersegera dalam kebajikan; mereka itulah orang-orang salih." (3:113-114)
  • -mempercayai Allah, dan
    -mempercayai yang benar yang datang (al-Qur'an):
    "Tidakkah kami patut mempercayai Allah, dan yang benar yang datang kepada kami, dan menginginkan supaya Pemelihara kami memasukkan kami berserta kaum yang salih?" (5:84)
  • -bersedekah dan bernafkah:"Dan antara mereka ada yang membuat perjanjian dengan Allah, 'Jika Dia memberikan kami daripada pemberian-Nya, kami akan bersedekah, dan termasuk orang-orang yang salih.'" (9:75) Terdapat satu lagi ayat mengenai sedekah sebagai amalan orang baik:
    "Nafkahkanlah daripada apa yang Kami merezekikan kamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu, dan dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, mengapa tidak Engkau menangguhkan aku kepada satu tempoh yang dekat, supaya aku bersedekah, dan jadilah aku termasuk orang-orang yang salih (baik).'” (63:10)
  • -menepati perjanjian Allah dan tidak melanggar perjanjian,
    -menghubungkan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan,
    -takut kepada Tuhan dan perhitungan yang jahat,
    -bersabar,
    -melakukan solat,
    -menafkahkan daripada rezeki yang diterima, secara rahsia atau terbuka,
    dan
    -menolak kejahatan dengan yang baik:

    "Yang menepati perjanjian Allah, dan tidak melanggar perjanjian, Yang menghubungkan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan, dan takut kepada Pemelihara mereka, dan mereka takut akan perhitungan yang jahat. Orang-orang yang bersabar, dengan menginginkan Wajah Pemelihara mereka, melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, dan yang menolak kejahatan dengan yang baik - bagi merekalah tempat kediaman muktamad, Taman-Taman Adn mereka masuk, dan orang-orang yang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka, dan para malaikat masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu," (13:20-23)
Sedikit penjelasan mengenai maksud perjanjian Allah. Ia boleh bermaksud sesuatu perintah Allah seperti disebut ayat berbunyi, "Dan bahawa kamu tidak mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik, sehingga dia dewasa. Dan tepatilah sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak membebani sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, berlakuadillah, walaupun ia kepada sanak saudara yang dekat. Dan tepatilah perjanjian Allah. Itulah yang Dia mewasiatkan kamu dengannya, supaya kamu ingat." (6:152)
Catatan ringkas mengenai sifat atau amalan yang dilakukan oleh orang-orang baik disambung di bawah ini:

  • -bersifat kesal: "Pemelihara kamu sangat mengetahui apa yang di dalam jiwa kamu jika kamu orang-orang salih (baik); sesungguhnya Dialah Pengampun kepada orang-orang yang kesal." (17:25)
  • -berjuang di jalan Allah,
    -percaya dan buat kerja-kerja kebaikan,
    dan
    -buat baik kepada ibu bapa tetapi mereka tidak ditaati jika mengajak berjuang untuk menyekutukan Allah:

    "Sesiapa berjuang, dia berjuang hanya untuk dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Kaya daripada semua alam. Dan orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, sungguh, Kami akan melepaskan mereka daripada kejahatan-kejahatan mereka, dan Kami akan membalas mereka dengan yang paling baik daripada apa yang mereka buat.
    Kami mewasiatkan manusia supaya dia berbuat baik kepada ibu bapanya; tetapi jika mereka berjuang dengan kamu untuk kamu menyekutukan Aku dengan yang padanya kamu tiada pengetahuan, maka jangan mentaati mereka; kepada Aku kamu akan kembali, dan Aku akan memberitahu kamu apa kamu buat. Dan orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, sungguh, Kami akan memasukkan mereka di kalangan orang-orang yang salih." (29:6-9)
    serta,
     
  • -bertaubat dan
    -mengikuti jalan Allah:


    "Wahai Pemelihara kami, dan masukkanlah mereka (yang bertaubat dan mengikuti jalan Allah) ke Taman Adn yang Engkau menjanjikan mereka dan orang-orang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka; sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana." (40:8)

Senarai amalan orang baik diakhiri dengan suatu yang khas bagi kaum perempuan, iaitu:
  • -wanita yang patuh, dan menjaga yang rahsia kerana Allah menjaganya:

    "Lelaki-lelaki adalah pengurus-pengurus urusan perempuan, dengan sebab Allah melebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian lain, dan kerana mereka menafkahkan daripada harta mereka. Maka wanita-wanita yang salih ialah yang patuh, yang menjaga yang rahsia kerana Allah menjaganya..." (4:34)

Selanjutnya daripada al-Qur'an, disebut mengenai orang baik yang membuat kerja-kerja kebaikan ('amilu solihan) yang memuaskan hati Allah. Nabi Sulaiman telah memohon untuk menjadi orang salih yang berbuat demikian. Doanya berbunyi,

"Wahai Pemeliharaku, sediakanlah aku supaya aku berterima kasih atas rahmat Engkau, yang dengannya Engkau merahmati aku, dan bapaku, dan ibuku; dan supaya aku membuat kerja-kerja kebaikan yang sangat memuaskan hati Engkau, dan masukkanlah aku, dengan pengasihan Engkau, di kalangan hamba-hamba Engkau yang salih." (27:19)

Lalu al-Qur'an diimbas untuk menggali keluar amalan-amalan yang disebut mampu memuaskan hati-Nya. Senarai mereka diringkaskan juga, dan diturunkan di bawah ini:

  • benar dengan janji,
    menyuruh keluarga bersolat dan zakat:

    "Dan ingatlah (sebutlah) di dalam Kitab, Ismail; dia benar dengan janjinya, dan dia seorang rasul, seorang Nabi. Dia menyuruh keluarganya supaya bersolat dan zakat, dan dia memuaskan hati Pemeliharanya." (19:54-55)
  • tidak sombong tapi menjual diri kepada Allah:
    "Dan apabila dikatakan kepadanya, 'Takutilah Allah', kesombongan mengambilnya dalam dosanya. Maka cukuplah untuk dia Jahanam - betapa buruknya buaian! Dan antara manusia ada yang menjual diri-diri mereka kerana menginginkan kepuasan hati Allah; dan Allah Lembut kepada hamba-hamba-Nya." (2:206-207)
  • menafkahkan harta:

    "Tetapi persamaan orang-orang yang menafkahkan harta mereka dengan menginginkan kepuasan hati Allah, dan untuk meneguhkan diri mereka, ..." (2:265)
  • bertakwa:

    "Katakanlah, 'Bolehkah aku memberitahu kamu yang lebih baik daripada itu? Bagi orang-orang bertakwa, di sisi Pemelihara mereka taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dan teman-teman hidup yang dibersihkan, dan kepuasan hati Allah. Dan Allah melihat hamba-hamba-Nya.'" (3:15)
  • tidak menipu:

    "Tiadalah bagi seorang Nabi untuk dia menipu, dan sesiapa menipu akan datang dengan apa yang ditipukannya pada Hari Kiamat; kemudian tiap-tiap jiwa akan dibayar sepenuhnya apa yang ia mengusahakan, dan mereka tidak dizalimi. Apa, adakah orang mengikuti kepuasan hati Allah itu sama seperti orang dipenuhi beban kemurkaan Allah, yang tempat menginapnya Jahanam? Satu kepulangan yang buruk!" (3:161-162)
  • tidak rasa takut tetapi keimanan bertambah apabila diberitahu musuh sudah berkumpul untuk menyerang:
    "Orang-orang yang kepada mereka manusia berkata, 'Manusia telah berkumpul terhadap kamu, kerana itu takutilah mereka'; tetapi ia menambahkan mereka dalam keimanan, dan mereka berkata, 'Cukuplah Allah bagi kami. Wakil yang sangat baik!' Maka mereka balik dengan rahmat dan pemberian daripada Allah, tidak disentuh keburukan; mereka mengikuti kepuasan hati Allah; dan Allah mempunyai pemberian yang besar." (3:173-174)
  • bicara rahsia untuk memberi sedekah, atau apa yang baik, serta
    membetulkan antara manusia:

    "Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan pembicaraan rahsia mereka, melainkan bagi orang yang menyuruh memberi sedekah, atau apa yang baik, atau memperbetulkan antara manusia. Sesiapa berbuat demikian itu dengan menginginkan kepuasan hati Allah, sungguh Kami akan memberinya upah yang besar." (4:114)
  • mengunjungi Rumah Suci (Haji):

    "Wahai orang-orang yang percaya, jangan melanggar tanda-tanda Allah, dan bulan-bulan haram, dan pemberiannya, dan rantai leher, dan juga orang-orang yang mengunjungi Rumah Suci yang bermaksud untuk mencari daripada Pemelihara mereka, pemberian dan kepuasan hati." (5:2)
  • percaya,
    berhijrah,
    dan
    berjuang di jalan Allah dengan harta dan jiwa:


    "Orang-orang yang percaya, dan berhijrah, dan berjuang di jalan Allah dengan harta mereka, dan jiwa mereka, adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah; dan mereka itu, merekalah orang-orang yang menang. Pemelihara mereka memberi mereka berita gembira dengan pengasihan daripada-Nya, dan kepuasan hati; bagi mereka, taman-taman yang di dalamnya kebahagiaan yang kekal." (9:20-21)
  • lelaki dan perempuan mukmin yang menyuruh yang baik,
    melarang kemungkaran,
    melakukan solat,
    memberi zakat,
    dan
    mentaati Allah dan rasul-Nya:


    "Dan orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, adalah wali-wali (sahabat-sahabat) satu sama lain; mereka menyuruh yang baik, dan melarang kemungkaran; mereka melakukan solat, dan memberikan zakat, dan mereka mentaati Allah dan rasul-Nya. Mereka itu, kepada mereka Allah mengasihani; sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana. Allah menjanjikan orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, dengan taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, tinggal selama-lamanya di dalamnya, dan tempat-tempat tinggal yang baik di Taman-Taman (Jannah) Adn; dan yang lebih besar, kepuasan hati Allah; itulah kemenangan yang besar." (9:71-72)
  • keras terhadap orang tidak percaya,
    pengasih sesama sendiri,
    tuduk
    dan sujud kepada Allah:

    "Muhammad adalah rasul Allah, dan orang-orang bersama dia, keras terhadap orang-orang yang tidak percaya, pengasih sesama mereka. Kamu melihat mereka tunduk, sujud, mencari pemberian daripada Allah, dan kepuasan hati." (48:29)
  • tidak mengutamakan kesenangan dunia:
    "Ketahuilah bahawa kehidupan dunia adalah tiada, melainkan satu permainan, dan satu hiburan, dan perhiasan, dan bermegah-megah antara kamu, dan persaingan dalam harta dan anak-anak. Ia persamaan hujan di mana tanamannya mengagumkan orang-orang yang tidak percaya; kemudian ia menjadi kering, dan kamu melihatnya menjadi kuning, kemudian ia menjadi jerami yang hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras, dan keampunan daripada Allah, dan kepuasan hati; dan kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang menipukan." (57:20)
  • berhijrah kerana diusir daripada tempat tinggal dan harta mereka:
    "Ia adalah untuk penghijrah-penghijrah yang fakir (memerlukan), yang diusir daripada tempat tinggal mereka dan harta benda mereka, untuk mencari pemberian daripada Allah dan kepuasan hati, dan menolong Allah dan rasul-Nya; mereka itu, merekalah orang-orang yang benar." (59:8) dan,
  • keluar berjuang di jalan Allah:
    "Wahai orang-orang yang percaya, jangan mengambil musuh-Ku dan musuh kamu untuk wali (sahabat), dengan menyampaikan kasih sayang kepada mereka, sesungguhnya mereka tidak percaya kepada yang benar yang datang kepada kamu, dengan mengusir rasul dan kamu kerana kamu mempercayai Allah, Pemelihara kamu. Jika kamu keluar untuk berjuang di jalan-Ku dan menginginkan kepuasan hati-Ku, dengan merahsiakan kasih sayang kepada mereka, dan Aku sangat mengetahui apa yang kamu menyembunyikan dan apa yang kamu menyiarkan; dan sesiapa antara kamu berbuat demikian itu, dia sesat daripada jalan yang betul." (60:1)

Jalan-jalan yang dinyatakan itu adalah jalan-jalan kesejahteraan yang ditunjuki Allah bagi orang-orang yang mengikuti kepuasan hati-Nya, di samping memberi petunjuk kepada jalan lurus. Demikian difahamkan daripada Kitab al-Qur'an, melalui firman-Nya,
"Wahai ahli Kitab, sungguh telah datang kepada kamu rasul Kami, dengan memperjelaskan kepada kamu banyak perkara yang kamu menyembunyikan daripada Kitab, dan banyak yang dimaafkan. Telah datang kepada kamu daripada Allah satu cahaya, dan sebuah Kitab yang jelas. Allah memberi petunjuk kepada siapa mengikuti kepuasan hati-Nya pada jalan-jalan kesejahteraan, dan mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya dengan izin-Nya; dan Dia memberi petunjuk kepada mereka pada jalan lurus." (5:15-16)


Kembali kepada perbincangan mengenai orang salih atau orang baik. Mereka dirahmati Allah, bersama para Nabi, orang-orang yang benar, dan para syahid (saksi) yang turut dirahmati Allah. Tergolong dalam golongan mereka ialah hamba-hamba perempuan dan segolongan jin yang salih. Ayat-ayat berikut menjelaskan:

"Sesiapa mentaati Allah dan rasul, mereka adalah bersama-sama orang-orang yang Allah merahmati, daripada Nabi-Nabi, dan orang-orang yang benar, dan para syahid (saksi), dan orang-orang salih; merekalah teman-teman yang baik!" (4:69),

"Kahwinlah orang-orang yang tanpa teman hidup di kalangan kamu, dan hamba-hamba kamu, dan hamba-hamba perempuan yang salih; jika mereka fakir, Allah akan memberi kecukupan kepada mereka daripada pemberian-Nya; Allah Merangkumi, Mengetahui." (24:32) dan,

"Dan sebahagian daripada kami (jin) adalah yang salih, dan sebahagian daripada kami tidak demikian; jalan-jalan (tarekat) kami berlainan." (72:11)

Darjat orang salih menjadi idaman. Ia dipohon kepada Allah supaya dapat disatukan dengan mereka di akhirat. Termasuk mereka yang memohon ialah Nabi Yusuf dan Nabi Ibrahim. Doa mereka berbunyi,

"Wahai Pemeliharaku, Engkau telah memberikan aku (Yusuf) untuk memerintah, dan Engkau telah mengajar aku interpretasi hadis (mimpi). Wahai Pemula langit dan bumi, Engkau Waliku (Pelindungku) di dunia dan akhirat. Matikanlah aku dalam kemusliman, dan satukanlah aku dengan orang-orang yang salih." (12:101) dan,

"Wahai Pemeliharaku, berilah aku (Ibrahim) putusan, dan satukanlah aku dengan orang-orang yang salih," (26:83)

Terdapat juga doa untuk mendapatkan anak yang salih, tetapi ada juga manusia setelah mendapatnya mengadakan sekutu bagi Allah pula, mungkin dengan menunjukkan kepada sesuatu yang bukan Allah yang mengurniakannya. Ayat-ayat yang memberitahu berbunyi,

"Wahai Pemeliharaku, berilah aku yang termasuk orang-orang salih." (37:100) dan,

"Dia yang mencipta kamu daripada jiwa yang satu, dan membuatkan daripadanya teman hidupnya supaya dia berehat padanya. Kemudian, apabila dia menutupinya, dia (perempuan) membawa beban yang ringan, dan dia melalui dengannya. Apabila ia menjadi berat, mereka berseru kepada Allah, Pemelihara mereka, 'Jika Engkau memberi kami anak yang salih, sungguh kami menjadi daripada orang-orang yang berterima kasih.'
Tetapi apabila Dia memberikan mereka anak yang salih, mereka mengadakan bagi-Nya sekutu-sekutu, pada apa Dia telah memberikan mereka. Tingginya Allah daripada apa yang mereka menyekutukan!" (7:189-190)

Masih dengan doa. Adalah difahamkan para malaikat yang membawa Arasy dan yang di sekelilingnya berdoa untuk orang-orang salih, bapa-bapa, isteri-isteri, dan keturunan mereka yang salih - berdoa semoga mereka dilindungi daripada azab Jahim, dilindungi daripada kejahatan-kejahatan, dan dimasukkan ke Taman Adn pada Hari Kiamat. Doa tersebut berbunyi,

"Mereka yang membawa Arasy, dan mereka di sekelilingnya, menyanjung dengan memuji Pemelihara mereka, dan mempercayai-Nya, dan mereka meminta ampun untuk orang-orang yang percaya, 'Wahai Pemelihara kami, Engkau merangkumi segala sesuatu dalam pengasihan dan pengetahuan; maka ampunilah orang-orang yang bertaubat, dan mengikuti jalan Engkau, dan lindungilah mereka daripada azab Jahim.
Wahai Pemelihara kami, dan masukkanlah mereka ke Taman Adn yang Engkau menjanjikan mereka dan orang-orang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka; sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana.
Dan lindungilah mereka daripada kejahatan-kejahatan; sesiapa yang Engkau melindungi daripada kejahatan-kejahatan pada hari itu, kepadanya Engkau mengasihaninya; dan itulah kemenangan yang besar." (40:7-9)

Maka, siapa sahaja yang beramal menurut yang ditetapkan Kitab, lelaki atau perempuan, mampu menjadi orang salih atau orang baik. Suatu yang menjadikan orang baik begitu istimewa ialah mendapat perlindungan Allah yang membolehkan dia menjadi sejahtera di dunia dan sejahtera di akhirat. Disudahi di sini dengan firman berkaitan berbunyi,

"Waliku (Pelindungku) ialah Allah yang menurunkan Kitab, dan Dia mengambil ke dalam perlindungan-Nya orang-orang yang salih." (7:196)

0 comments:

Post a Comment

Blogger Tricks

Powered by Blogger.